Obses Pada Jawatan: Muhyiddin Didakwa Mahu Tentukan Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR | 18 Apr 26 — Tindakan berterusan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak perubahan jawatan Ketua Pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) kini mencetuskan persoalan mengenai tahap pengaruh sebenar beliau dalam gabungan tersebut.

Kritikan turut disuarakan Ketua RESET Sepanggar, Norsahar Ahmad yang mendakwa desakan itu menggambarkan kebergantungan politik terhadap jawatan berkenaan.

“TS Muhyiddin Yassin nampaknya terlalu obses dengan jawatan Ketua Pembangkang, seolah-olah itulah talian hayat terakhir untuk menghidupkan kembali pengaruh dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pelbagai tekanan digunakan termasuk melalui media dan rundingan dalaman, namun masih gagal mengubah pendirian kepimpinan gabungan, khususnya PAS.

“Berkali-kali beliau mendesak, tetapi tidak membuahkan hasil,” ujarnya lagi.

Isyarat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi ungkapan “biar lambat asal selamat” pula dilihat sebagai mesej jelas agar isu tersebut tidak disegerakan. Namun, Muhyiddin dikatakan terus mengulangi desakan tersebut.

Mengulas lanjut, Norsahar berpandangan jawatan Ketua Pembangkang kini bukan sekadar peranan Parlimen, tetapi simbol kepada kelangsungan pengaruh politik.

“Tanpanya, Bersatu dilihat semakin tenggelam, dan usaha mempertahankan pengaruh kelihatan semakin terdesak,” katanya.

Pemerhati politik pula melihat perkembangan ini sebagai gambaran peralihan kuasa dalam PN, apabila PAS semakin dominan dalam menentukan hala tuju, manakala Bersatu berdepan cabaran mengekalkan pengaruh Muhyiddin yang dilihat terumbang-ambing. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share