Pemisahan Kuasa AG-Pendakwa Raya: Reform atau Risiko Baharu?

Cadangan memisahkan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dikemukakan atas nama reform institusi. Secara prinsip, ia kedengaran progresif — mengurangkan konflik kepentingan dan memperkukuh kebebasan pendakwaan.

Namun dalam dasar awam, niat yang baik tidak pernah menjamin masalah teras dapat diselesaikan. Soalannya bukan sekadar “patut atau tidak”, tetapi “bagaimana mekanismenya”.

Terdapat tiga persoalan strategik yang perlu dijawab secara tuntas sebelum RUU ini dianggap matang.

Ketidakjelasan Struktur Perlembagaan

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa pendakwaan kepada Peguam Negara. Jika fungsi ini dipisahkan, pindaan mestilah menyeluruh dan koheren — bukan separa atau kosmetik.

Tanpa penjelasan terperinci mengenai — Siapa memegang kuasa muktamad memulakan atau menghentikan pendakwaan? — Bagaimana konflik antara penasihat undang-undang kerajaan dan Pendakwa Raya akan diselesaikan? — Adakah wujud risiko “dua pusat kuasa” dalam sistem perundangan?

‘Reform’ yang tidak ditambat kemas pada kerangka perlembagaan berisiko melahirkan kekeliruan lebih besar daripada masalah asal yang ingin diselesaikan.

Risiko Ketidakseimbangan Kuasa Baharu

Pemisahan sering digambarkan sebagai langkah memperkukuh kebebasan. Tetapi kebebasan tanpa semak imbang boleh berubah menjadi autonomi tanpa akauntabiliti.

Jika Pendakwa Raya berdiri sepenuhnya bebas — Kepada siapa beliau bertanggungjawab? PM atau parlimen? Hal ini tidak dijelaskan dengan terperinci.

Siapa melantik dan siapa boleh menamatkan perkhidmatan? — Adakah Parlimen mempunyai peranan dalam pengawasan? Ini juga tidak dijelaskan.

Tanpa mekanisme pertanggungjawaban yang jelas, reform ini berisiko mencipta satu institusi yang kuat tetapi sukar dipersoal. Dalam negara demokrasi, kuasa yang terlalu kebal — walaupun atas nama integriti — tetap memerlukan imbangan.

Keraguan Terhadap Keikhlasan Reform

Isu masa dan konteks politik tidak boleh diketepikan. Reform institusi yang diperkenalkan ketika wujud kes berprofil tinggi atau tekanan politik mudah mengundang persepsi bahawa ia didorong oleh kepentingan jangka pendek.

Persoalan yang timbul antaranya; Mengapa reform ini tidak dibentang lebih awal? Adakah ia sebahagian daripada pelan transformasi menyeluruh atau respons terhadap tekanan semasa? Adakah ia disertai reform lain melibatkan agensi penyiasatan dan penguatkuasaan?

Tanpa naratif reform yang menyeluruh, RUU ini mudah dilihat sebagai langkah terpisah yang tidak menyentuh akar masalah.

Reform Memerlukan Ketelitian, Bukan Sekadar Keberanian

Pemisahan kuasa AG dan Pendakwa Raya bukan idea baharu. Banyak negara telah melaksanakannya dengan variasi model masing-masing. Namun kejayaan model tersebut bergantung pada satu perkara utama — kejelasan struktur dan ketegasan semak imbang.

Reform institusi bukan soal retorik keberanian politik. Ia soal reka bentuk sistem yang mampu bertahan melampaui satu kerajaan dan satu generasi.

Jika tiga persoalan strategik ini dijawab secara telus dan tuntas, pemisahan kuasa boleh menjadi batu loncatan kepada sistem keadilan yang lebih kukuh. Jika tidak, ia mungkin sekadar memindahkan risiko dari satu pejabat ke pejabat yang lain.

Dalam isu sebesar ini, kehati-hatian bukan tanda penentangan terhadap reform. Ia tanda bahawa reform itu mesti dibuat dengan betul — atau tidak dibuat langsung. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Perang Iran Dan Kesan Ekonomi Global

Perang Iran menunjukkan bagaimana konflik geopolitik boleh mencetuskan krisis ekonomi global. Rantau Timur Tengah memainkan peranan strategik dalam sistem ekonomi dunia, sebagai pengeluar tenaga utama dan hab penerbangan antarabangsa.
Read More
Total
0
Share