
Tragedi 15 kematian orang pelajar UPSI di Gerik Perak berlaku hanya selang sebulan tragedi yang juga berlaku di Perak, yang meragut 9 nyawa anggota polis. Dari dua kemalangan jalan raya ini saja, 24 nyawa terkorban begitu saja.
Dalam konteks keselamatan jalan raya, dimana silapnya hingga berulang tragedi ini?
Jika dilihat berdasarkan penemuan siasatan, kajian atau statistik, semua masalah ini akan membawa kita kepada satu masalah yang sistemik. Ini bermaksud, tragedi seperti ini bukan berpunca hanya dari satu faktor, tetapi pelbagai faktor.
Jika kita pernah menonton Chanel Nat Geo – Air Disaster atau Air Crash Investigation – kita akan dapat memahami bahwa sesuatu bencana itu berpunca dari kronologi dan rantaian masalah yang gagal dan akhirnya masalah itu berakhir dengan tragedi iaitu kemalangan.
Masalah sistemik ini merangkumi dasar, pelaksanaan undang-undang, pemantauan, pematuhan dan individu itu sendiri.
Pemandu yang ‘sakit’ yakni yang ada rekod kesalahan jalan raya atau pelbagai rekod jenayah tidak seharusnya memegang strering kenderaan lagi, apatah lagi kenderaan awam atau komersil.
Jadi persoalannya, bagaimana masih masalah ini masih berterusan? Kenapa masih ada pemandu yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan jalan raya, masalah mabuk, masalah dadah dsb masih dibenarkan memandu hingga membahayakan pengguna jalan raya?.
Apakah syarikat hatta agensi yang mengendali unit pengangkutan tidak melakukan saringan pemandu? Adakah tidak wujud SOP untuk memantau masalah ini dari pihak berkuasa?
Begitu juga dengan masalah-masalah teknikal iaitu penyelenggaraan jalan raya itu sendiri. Apakah Kementerian, jabatan, agensi negeri tidak sedia maklum status jalan raya di kawasan masing-masing?
Sudah sampai masanya kita berhenti bertengkar dan menyalahkan satu sama lain. Semak balik apa tujuan sebenar kita dalam urusan nyawa, urusan keselamatan dan untung – rugi.
Laksanakan audit di semua peringkat jabatan, audit kewangan, audit SOP pemantauan, pematuhan dan keselamatan secara menyeluruh, dan yang paling penting – ubah cara kita berfikir, ubah cara kita bekerja di semua peringkat.
Kemalangan memang tidak akan boleh dielak, tetapi risiko kemalangan boleh diminimakan. Kerja meminikan risiko tragedi seperti ini, adalah kerja kita semua.
Tepuk dada, tanya selera. @analitiko