
KUALA LUMPUR | 26 Mac 26 – Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai menempelak Khairy Jamaluddin susulan kenyataan yang melabel seorang pemimpin sebagai “stupid and incompetent”, sambil menyifatkannya sebagai pendekatan politik lama yang semakin ditolak rakyat.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata individu yang diperkecilkan itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam kejayaan besar PAS di Terengganu, termasuk kemenangan bersih 32-0 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, momentum sokongan itu turut diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman apabila majoriti kemenangan berjaya ditingkatkan, sekali gus mengukuhkan penguasaan parti di negeri berkenaan.
Faizzuddin turut menegaskan bahawa pemimpin berkenaan kini memegang peranan penting dalam Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya mempunyai jumlah kerusi Parlimen signifikan serta mentadbir beberapa negeri.
“Ini menunjukkan ukuran sebenar dalam politik bukan retorik atau persepsi di media sosial, tetapi keupayaan memenangi sokongan rakyat secara konsisten,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa serangan peribadi tidak mencerminkan kematangan politik dan tidak membantu membina wacana sihat dalam kalangan masyarakat.
“Rakyat hari ini menilai berdasarkan prestasi dan tawaran masa depan, bukan label semata-mata,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya beralih kepada pendekatan politik yang lebih substantif dan berfokus kepada kepentingan rakyat.
Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin menyifatkan pembangkang hari ini merupakan yang paling tidak berguna, menyorot beberapa isu tempatan dan luar negara yang menurutnya seharusnya diketengahkan pembangkang.
Khairy berhujah bahawa walaupun terdapat “pentas” yang disediakan untuk pembangkang “bersinar” dalam memastikan langkah semak dan imbang yang betul di tengah-tengah krisis sedemikian, mereka “terlalu bodoh dan tidak cekap” untuk memanfaatkan peluang itu.
“Anda mengatakan anda seorang jurutera aeronautik, tetapi anda tidak mempunyai pendapat tentang apa-apa isu yang penting,” katanya dalam rujukan yang jelas kepada pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar, yang memegang kelayakan akademik dalam bidang itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.