
KUALA LUMPUR, 1 Sep 2025 – Sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah kendalian MyKasih Foundation masih menghadapi gangguan teknikal hingga hari kedua pelaksanaannya, menyebabkan ramai penerima bantuan tidak dapat membeli barangan keperluan seperti dijanjikan kerajaan.
Di beberapa pasar raya, suasana kecoh apabila warga emas dan keluarga B40 terpaksa meninggalkan troli penuh selepas sistem gagal mengesahkan transaksi menggunakan MyKad. Situasi ini mencetuskan rasa kecewa dan marah dalam kalangan rakyat, khususnya penerima yang benar-benar bergantung pada bantuan RM100 tersebut.
Kementerian Kewangan bersama pihak MyKasih dalam satu kenyataan semalam memohon maaf atas masalah tersebut, dengan alasan sistem berdepan “lonjakan luar biasa” transaksi. Namun, gangguan berterusan hari ini menambah tekanan kepada penerima yang sudah lama menunggu.
Walaupun pihak kerajaan memberi jaminan masalah teknikal akan dipulihkan segera, realitinya gangguan yang berlanjutan ini menimbulkan persoalan tentang kesiapsiagaan sistem digital yang menjadi tonggak program bantuan rakyat.
Pemerhati berpendapat, kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SARA, malah mencalarkan imej pentadbiran dalam menguruskan janji bantuan sosial. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.