
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berpandangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memikirkan peralihan kuasa yang lebih tertib bagi memastikan kelangsungan parti dalam menghadapi landskap politik semasa dan pilihan raya akan datang.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali menegaskan, suara ahli dan pemimpin yang menggesa perubahan kepimpinan tidak sepatutnya dianggap bertentangan dengan nilai demokrasi.
“Adakah jika ada suara yang mahu melihat Bersatu berubah ke arah yang lebih dinamik dan mampu mencetuskan momentum parti dianggap bercanggah dengan nilai demokrasi? Itu wajar dinilai dengan penuh tertib dan hikmah,” katanya.
Sementara itu, Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpendapat kemelut dalaman Bersatu berpunca daripada keengganan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur walaupun wujud kebimbangan dalam kalangan akar umbi.
“Jika Muhyiddin terus mengemudi Bersatu, ada kerisauan parti berdepan nasib sukar pada PRU-16. Kebimbangan ini bukan sahaja hadir melalui dakwaan akuan bersumpah ketua bahagian, tetapi turut digerakkan secara halus oleh PAS sebagai rakan komponen Perikatan Nasional (PN),” jelasnya.
Menurut beliau, masalah semakin rumit apabila Muhyiddin dikelilingi kelompok berkepentingan yang mahu mempertahankan kedudukan masing-masing.
Perkara itu, katanya, mendorong tercetusnya persaingan antara kumpulan yang dikaitkan dengan Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyokong pelan peralihan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dengan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih mempertahankan Muhyiddin.
Dr Ahmad Fauzi turut menyentuh desas-desus mengenai kemungkinan Azmin dan sebahagian penyokongnya berura-ura kembali kepada Pakatan Harapan (PH) atau PKR, sekali gus menambahkan lagi ketidaktentuan dalam Bersatu.
“Jika dibandingkan, kumpulan Wan Saiful lebih menonjol dari segi kredibiliti, baik melalui pencapaian pilihan raya mahupun idea, termasuk pelan konsensus nasional yang dibentangkan Hamzah di ISEAS Singapura pada Mei lalu,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.