Perlu Langkah Pencegahan, Elak Tragedi Berdarah Berulang, Titah Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR, 10 Jun 25 – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, langkah pencegahan perlu dilaksanakan berikutan kekerapan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa sejak akhir-akhir ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Nazrin, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam kenyataan memaklumkan baginda turut menitahkan supaya kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) baru-baru ini dijadikan sebagai pengajaran.

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian Allah menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka,” katanya memetik laporan Bernama.

Antaranya bagi mengenal pasti kelemahan yang ada dan melakukan penambahbaikan terutamanya dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar insiden seperti itu tidak berulang.

Meor Hezbullah berkata, Sultan Nazrin turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada waris mangsa yang kehilangan ahli keluarga dikasihi dalam usia yang begitu muda.

Beliau berkata, baginda turut berdoa agar ibu bapa dan keluarga mangsa diberikan kekuatan dan tabah menghadapi ujian berat itu.

Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI sebelum itu berkenan berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menyantuni keluarga mangsa dan mendapat sembah taklimat mengenai tragedi berkenaan daripada pengurusan hospital. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share