
KUALA LUMPUR, 3 Sep 25 – Penganalisis politik mengingatkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) agar tidak membuka perdebatan berhubung calon perdana menteri secara terbuka kerana ia hanya menjejaskan kesatuan dalaman gabungan pembangkang.
Prof Dr Ahmad Fauzi dari Universiti Sains Malaysia (USM) menegaskan penekanan politik PN kini mestilah pada kesatuan, bukan persaingan dalaman.
“Apa-apa isu yang berpotensi mewujudkan ketegangan seperti soal calon PM elok dibincangkan di balik tabir dalam suasana ukhuwah dan kasih sayang,” katanya sambil menambah bahawa pemimpin PN perlu bersedia mendengar suara akar umbi, bahkan berundur jika perlu demi maslahah perjuangan yang lebih besar.
Sementara itu, Dr Mazlan Ali dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM Kuala Lumpur berkata PAS sudah jelas dengan pendirian mereka bahawa soal calon perdana menteri diserahkan kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukannya diumum lebih awal.
Menurutnya, langkah PAS ini mungkin strategi berbeza dengan trend parti politik lain yang menamakan “poster boy” lebih awal.
“Pendirian PAS sebagai komponen besar PN tidak boleh diperkecilkan, malah tindakan Ketua Bahagian BERSATU yang menasihatkan supaya isu ini tidak dibangkitkan wajar difahami untuk mengelak ketidakselesaan dalam kerjasama PN,” jelasnya.
Beberapa Ketua Bahagian Bersatu baru-baru ini telah menyuarakan pandangan agar apa-apa usul ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, berkaitan calon Perdana Menteri hendaklah dihindarkan bagi menjaga keharmonian parti gabungan Perikatan Nasional.
Sebaliknya, perwakilan disaran menggunakan platform PAT untuk mengukuhkan persiapan parti untuk menghadapi Pilihan Raya ke 16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.