
KUALA LUMPUR, 28 NOV 25 — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia telah membuat “konsesi serius” kepada Amerika Syarikat menerusi perjanjian yang baru dimeterai kerajaan, sehingga menurutnya menyebabkan negara “hilang kemerdekaan”.
Dalam kenyataan ringkasnya di facebook hari ini, Mahathir berkata teks sebenar perjanjian itu yang didakwanya berbeza dengan kenyataan awal kerajaan menunjukkan Malaysia “menyerahkan kawalan” kepada Washington.
“Dalam teks asal banyak konsesi dibuat yang secara efektif meletakkan Malaysia di bawah kawalan Amerika Syarikat. Malaysia telah hilang kemerdekaannya,” katanya.
Mahathir turut menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut, malah menggunakan istilah “treason” (pengkhianatan) dan mendesak beliau didakwa.
“Ini yang Anwar telah lakukan. Ini pengkhianatan. Anwar mesti didakwa kerana khianat,” kata Mahathir.
Kerajaan setakat ini menegaskan bahawa perjanjian tersebut tidak menjejaskan hak dan kedaulatan negara, malah kekal dalam garis merah dasar Malaysia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.