Oleh Ismail Hashim Yahaya

Ketika dunia menyaksikan Gaza dibedil tanpa henti dan rakyat Palestin dibunuh serta dibiarkan kebuluran, kuasa-kuasa Barat tampil dengan satu “penawar” diplomatik: pengiktirafan negara Palestin.
Bukan kita tidak bersetuju kerana di saat genosid dan ancaman kebuluran, kemasukan trak bantuan yang terbatas, penyelesaian dua negara dan penghentian perang adalah sesuatu yang dinanti dan perlu disederakan.
Namun, di sebalik resolusi dan kenyataan rasmi, persoalan mendasar tetap menghantui: apakah yang sebenarnya sedang diiktiraf? Sebuah negara yang wujud secara fizikal dan berdaulat, atau sekadar ilusi politik yang menutup jenayah kolonial Israel?
Sejarah Dua Negara: Dari Pelan Pembahagian ke Oslo
Cadangan penyelesaian dua negara bukanlah idea baharu. Ia bermula dengan Pelan Pembahagian PBB 1947, yang mencadangkan penubuhan dua negara—satu Yahudi dan satu Arab—di wilayah Palestin Mandat British.
Israel menerima cadangan itu manakala negara-negara Arab menolaknya, lalu tercetusnya perang 1948. Hasilnya, Israel bukan sahaja menguasai kawasan yang diperuntukkan kepadanya tetapi juga sebahagian besar wilayah yang sepatutnya menjadi negara Arab.
Pada tahun 1988, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) secara rasmi menerima idea dua negara. Yasser Arafat, dalam era Intifada pertama, menyatakan kesediaan untuk berdamai berdasarkan sempadan 1967.
Ini membawa kepada Perjanjian Oslo 1993, yang menubuhkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai pentadbiran interim. Namun, rundingan status akhir mengenai sempadan, pelarian, dan Baitulmaqdis tidak pernah dimulakan walaupun tempoh interim lima tahun telah tamat pada Mei 1999.
Israel: Negara Haram yang Enggan Berkongsi
Sejak penubuhannya, Israel telah beroperasi sebagai satu-satunya entiti berdaulat di wilayah yang sepatutnya dikongsi. Ia menolak sebarang bentuk kedaulatan Palestin yang sebenar.
Perdana Menteri negara entiti haram, Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan terbaharunya pada September 2025, menegaskan bahawa “tidak akan ada negara Palestin” dan menandatangani pelan peluasan penempatan yang akan membelah Tebing Barat.
Israel kini menguasai sepenuhnya Gaza dari luar, mengepungnya secara ketenteraan dan ekonomi, dan terus membina penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Apa yang tinggal untuk Palestin bukanlah negara tetapi serpihan wilayah yang terputus-putus dan dikawal sepenuhnya oleh rejim penjajah.
Gaza: Negara yang Dimusnahkan Sebelum Wujud
Di tengah-tengah pengiktirafan simbolik oleh negara-negara Barat, Gaza terus dibom setiap saat. Menurut laporan PBB, lebih 64,000 rakyat Palestin telah terbunuh, dan lebih 500,000 menghadapi kebuluran. Infrastruktur awam—hospital, sekolah, masjid—telah dimusnahkan. UNRWA melaporkan bahawa lebih 86% Gaza kini berada dalam zon ketenteraan Israel, dan lebih 725,000 orang telah dipindahkan secara paksa.
Apa yang tinggal di Gaza bukanlah negara sebaliknya padang jarak padang terkukur iaitu tanpa air, makanan atau masa depan. Dalam keadaan ini, cadangan dua negara merupakan hiperealiti buat masa kini yang seolah-olah menghina realiti penderitaan rakyat Palestin kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk direaliti.
Lebih membimbangkan, terdapat cadangan dari tokoh seperti Presiden AS Donald Trump untuk membina semacam “Reviera Perancis” di Gaza, satu bentuk kolonisasi ekonomi yang menyamar sebagai pembangunan. Ia bukan pemulihan, tetapi penghapusan sejarah dan hak milik.
PBB dan Dunia Islam: Resolusi Tanpa Taring?
Pada 12 September 2025, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Deklarasi New York, yang menyeru kepada pelaksanaan penyelesaian dua negara dan penamatan perang di Gaza. Resolusi ini disokong oleh 142 negara tetapi ditolak oleh Israel dan Amerika Syarikat. Ia juga menyeru agar Hamas menyerahkan Gaza kepada PA, dan menubuhkan pentadbiran transisi di bawah PBB.
Namun, Majlis Keselamatan PBB kekal sebagai halangan utama. AS, sekutu utama Israel, (di mana kini disebutkan israel adalah negeri ke-52 AS) dijangka akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang sebarang tindakan yang menjejaskan kepentingan Israel. Maka pengiktirafan ini kekal sebagai simbol, bukan struktur.
Mesyuarat Doha: Dunia Islam Bangkit?
Selepas serangan Israel ke atas pemimpin Hamas di Doha, Qatar menganjurkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islamik pada 15 September 2025. Pemimpin dari hampir 60 negara OIC dan Liga Arab hadir, termasuk Malaysia, Iran, Turki, Mesir dan Pakistan.
Sidang ini mengutuk serangan Israel sebagai “pengganasan negara” dan menyeru: Kajian semula hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel. Penggantungan keanggotaan Israel dalam PBB. Tindakan undang-undang antarabangsa terhadap jenayah perang dan genosid
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan solidariti dengan Qatar dan menegaskan komitmen Malaysia terhadap hak rakyat Palestin.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyeru agar negara Islam memutuskan hubungan dengan Israel dan membentuk “bilik operasi bersama” untuk menghadapi ancaman rejim Zionis.
Tetapi kenyataan-kenyatana Pedana Menteri Malaysia, Presiden Iran dan Turki tidak dimasukkan ke dalam Deklarasi yang ternyata mesyuarat tidaklah tergempar, sesuatu yang gempar, hanya kegemparan di atas kertas sahaja, kosong keberanian dan pengorbanan dalam tindakan yang mengigit.
Genosid dan Kegagalan Mekanisme Antarabangsa
Laporan rasmi Suruhanjaya Siasatan PBB pada 16 September 2025 menyimpulkan bahawa Israel telah melakukan empat daripada lima tindakan genosid yang ditakrifkan oleh Konvensyen Genosid 1948. Ini termasuk:
- Pembunuhan besar-besaran
- Menyebabkan penderitaan fizikal dan mental yang serius
- Mewujudkan keadaan hidup yang membawa kepada kemusnahan
- Menghalang kelahiran melalui sekatan kesihatan dan pemindahan paksa
Namun tiada tindakan konkrit diambil. Mekanisme antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Majlis Keselamatan PBB terus dibelenggu oleh politik kuasa besar.
Realiti Dua Negara: realitt hiper yang Menyelubungi Penjajahan
Pengiktirafan negara Palestin oleh negara-negara Barat seperti Perancis, UK, Kanada dan Australia bukanlah langkah ke arah pembebasan. Adakah ia adalah manuver diplomatik untuk:
- Menyelamatkan Israel daripada kecaman genosid
- Menyokong PA sebagai pentadbir yang patuh
- Menyingkirkan Hamas dan perlawanan bersenjata
- Menutup jenayah kolonial dengan naratif “perdamaian”
Tanpa penamatan penjajahan, pengiktirafan ini hanyalah mitos yang memperkukuh status quo.
Di Mana Harus Bermula?
Pengiktirafan negara Palestin bukanlah titik permulaan. Ia hanya bermakna jika disertai dengan:
- Penamatan sepenuhnya penempatan haram dan penjajahan
- Pengiktirafan hak pelarian untuk kembali
- Pembubaran sistem apartheid Israel
- Pemulihan Gaza sebagai wilayah berdaulat
Jika tidak dunia hanya mengulangi janji manis yang telah lama dikhianati. Rakyat Palestin tidak menolak pengiktirafan tetapi mereka tidak mahu ditipu lagi.
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.