Oleh : Zul Arif

Saya membaca wawancara Mingguan Malaysia bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin beberapa hari lalu, dimana dari wawancara itu memperlihatkan kemunculan satu gagasan yang berani dan segar dalam landskap politik Malaysia, Konsensus Nasional Baharu.
Saya belum begitu memahami secara mendalam isi sebenar Konsensus Nasional Baharu ini, namun yang jelas, naskhah ini telah muncul di tengah-tengah kemelut politik yang semakin memecah-belahkan rakyat. Ia juga muncul ditengah-tengah keresahan agenda reformasi yang kini jelas telah terbengkalai.
Inisiatif Konsensus Nasional Baharu ini hadir sebagai nafas segar yang melangkaui kepentingan parti dan kaum, dengan seruan kepada perpaduan dan kepedulian manusiawi dan pentadbiran berasaskan nilai ihsan.
Saya melihat, jika agenda Mahathir yang mahukan payung besar Melayu sebagai penggerak kepada penyatuan bangsa, idea Konsensus Nasional Baharu ini pula sebagai ‘penggalak’ (booster) bagaimana kerajaan sewajarnya ditadbir.
Apa yang dicadangkan Hamzah bukan hanya soal pertukaran kuasa, tetapi suatu kerangka baru untuk menyatukan negara dengan asas kemakmuran bersama, keadilan sosial, dan matlamat kolektif.
Beliau secara jujur mengakui kelemahan sistem semasa dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk membina masa depan yang lebih stabil dan sejahtera.
Walaupun masih awal, Konsensus Nasional Baharu menunjukkan potensi sebagai wadah penyatuan rentas parti dan ideologi, dengan fokus pada agenda rakyat, bukan retorik politik lama. Ia menandakan permulaan kepada politik yang lebih matang, terbuka, dan berjiwa rakyat.
Jika gagasan ini digerakkan dengan telus, inklusif dan konsisten, ia mampu menjadi asas kepada sebuah Malaysia yang lebih bersatu, adil dan makmur. Ini satu wadah melonjakkan kembali potensi Malaysia sebagai pemain utama dalam geo-politik dunia.
Dan dalam iklim politik yang sering tercemar oleh kepentingan diri, suara seperti ini sangat-sangat diperlukan.
Zulkifli Arif – Pembaca politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.