
MINGGUAN MALAYSIA (MM): Boleh rangkumkan mengenai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung minggu lalu?
Ronald Kiandee (RK) : Ia berjalan lancar, memperlihatkan semangat penyatuan sebagai tanda kesiapsiagaan serta aspirasi menjadikan PAT sebagai pembuka semangat untuk parti dan PN. Ia kesiapsiagaan menjadi kerajaan.
MM: Sejauh mana ia mencapai objektif apabila berlaku kekecohan?
RK : Insiden kekecohan berlaku pada hari pertama ketika Ucapan Dasar Presiden. Pada hari kedua, suasana kembali baik, bersatu dan harmoni. Pencapaian PAT harus dilihat pada suasana pada hari kedua, di mana ahli parti bersatu dengan lebih erat. Ya, insiden ini lebih baik kalau tidak berlaku, tetapi itu cuma ‘gangguan’ kecil.
MM: Bukankah ia memberi persepsi kepada orang ramai yang Bersatu, tidak bersatu pun sebenarnya?
RK: Sebab itu, kita perlu lihat PAT pada hari kedua. Satu insiden kecil berlaku mungkin daripada segi tertibnya tidak sesuai. Sama seperti Parlimen, bila pembentangan undang-undang ataupun bajet, lazimnya tidak diganggu. Begitu juga pembentangan ucapan dasar.
Saya melihat kekecohan ini sebagai demokrasi. Anda perlu faham, Bersatu terdiri daripada pemimpin pelbagai parti. Walaupun matlamatnya sama tetapi cara untuk capainya berbeza.
MM: Ada dakwaan ada individu yang bertanggungjawab menggerakkan Akuan Bersumpah (SD) untuk ‘turunkan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin, benarkah Datuk Seri?
RK: Pertamanya, saya tidak tahu mengenai gerakan SD ini dan tidak menandatanganinya. Fokus saya sekarang adalah untuk mempersiapkan Bersatu dan PN di Sabah. Saya terlalu sibuk dengan PRN Sabah.
Saya tidak pernah lihat SD tersebut tetapi apa yang boleh saya katakan dan percaya ia dibuat bukan untuk melemahkan sebaliknya memperkukuhkan parti.
MM: Apa fungsi Bersekutu dalam Bersatu kerana peranannya kurang menonjol? Adakah sekadar kosmetik?
RK: Kita tidak boleh menyalahkan Bersekutu, ia perlu dilihat dalam konteks besar. Masyarakat Cina masih bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH). Kami cuba Bersekutu dan parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk mengangkat dan mempengaruhi mereka untuk menyokong PN tetapi belum cukup menonjol. Ini kerana masyarakat Cina masih bertaut kepada kerajaan sedia ada.
Tetapi saya yakin apabila angin sudah berubah Bersekutu dan Gerakan akan jadi lebih penting untuk menyumbang kekuatan kepada Perikatan Nasional.
PAS TERAJUI PN
MM: Komen Datuk Seri mengenai usul Pas menerajui PN?
RK: Tentu pergerakan besar seperti ini akan dibincangkan dalam PN. Begitu juga ketika melantik ketua pembangkang untuk Dewan Rakyat. Ia dibincangkan dalam PN.
Walaupun Pas mempunyai 43 kerusi dan Bersatu 31 kerusi. Pas yang mencadangkan Hamzah sebagai ketua pembangkang. Maknanya soal kepentingan PN pasti akan dibincang secara baik dalam mesyuarat bersama.
MM: Adakah Pas mampu memberi nilai tambah sekiranya menerajui PN?
RK: Pas merupakan anggota asal, anggota penaja PN. Jadi, kami bincang banyak perkara, ini juga dibuat dalam konteks Pas dalam Muktamar Pas. Sama seperti PAT, Bersatu bincang dan meluluskan usul. Jadi, setiap parti boleh mencorakkan aspirasi dan hasrat melalui penghimpunan tahunan masing-masing.
MM: Adakah Bersatu perlu lebih terbuka memberi mandat kepada Pas untuk menerajui PN?
RK: Perbincangan itu mesti dibuat di peringkat nasional. Saya tiada masalah dengan Pas. Kita pernah duduk dalam Kabinet yang sama. Parti Bersatu Sabah (PBS) merupakan anggota dalam Kabinet bersama Pas, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersama dengan Pas dalam komponen Perikatan Nasional. Saya yakin semua parti komponen akan meraih sokongan rakyat.
MM: Bagaimana persiapan PN berdepan PRN Sabah?Adakah ia sukar selepas dikhianati dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu bekerjasama dengan PH?
RK: Kita melalui pelbagai fasa kritikal. Pernah suatu ketika, Bersatu di Sabah ditinggalkan oleh sebahagian pemimpin. Dahulu, kita pernah menang 11 kerusi Bersatu di Sabah bersama enam kerusi STAR, menjadikan keseluruhannya 17 kerusi PN. Namun akhirnya, semua kerusi tersebut meninggalkan PN. Untuk Dewan Undangan Negeri (DUN), kita kembali kosong – seolah-olah kembali kepada asas.
Selepas dua tahun, kita berjaya membina semula kepercayaan. Saya sendiri terkejut apabila mendapati, meskipun pemimpin besar meninggalkan kita, namun akar umbi masih ramai kekal menghargai serta setia bersama PN, khususnya Bersatu di Sabah.
Maka, apabila bercakap tentang tahap kesiapsiagaan, PN bersedia pada bila-bila masa sekiranya pilihan raya diadakan.
MM: Adakah PN bergerak solo atau bekerjasama dengan parti politik tempatan?
RK: Kebanyakan parti di Sabah, sama ada Warisan mahupun GRS, sering mengangkat naratif hanya parti Sabah yang boleh memimpin negeri ini. Inilah gagasan yang dibina oleh pihak yang kini berada di tampuk kerajaan.
Sebaliknya, kita adalah sebuah parti berteraskan nasional. Justeru, saya sendiri tidak pasti bagaimana bentuk perbincangan dapat dilakukan, memandangkan sebahagian besar parti di Sabah lebih cenderung kepada pendekatan politik berasaskan negeri.
Bagaimanapun saya tidak menolak sebarang kebarangkalian persefahaman politik (electoral pact).
MM: Adakah sukar untuk parti berasaskan nasional mendapat sokongan apabila naratif Sabah for Sabahan dimainkan?
RK: Saya juga sering bercakap tentang hak Sabah, tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta mengenai tuntutan 40 peratus hasil cukai Sabah. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112C dan 112D, dan ia mesti ditunaikan kerana itulah intipati sebenar perjuangan rakyat Sabah.
Jika ada pihak yang melaungkan slogan Sabah for Sabahan, PN juga memperjuangkan aspirasi sama. Namun, pendekatan serta mekanisme kita berbeza.
Kita menyokong aspirasi Sabah for Sabahan tetapi melihatnya dari sudut lebih luas, bukan hanya terhad dalam kerangka tempatan atau negeri semata-mata.
Bagi saya, perbezaan itu terletak pada cara pendekatan tetapi dari segi konsep dan aspirasi, kita sehaluan dengan mereka.
Ia sama seperti di Johor dengan konsep Bangsa Johor, atau di universiti dahulu dengan kewujudan persatuan anak-anak Sarawak, anak-anak Terengganu, dan anak-anak Selangor. Semangat kenegerian itu tidak salah kerana ia lahir daripada aspirasi untuk mengangkat negeri masing-masing.
Persoalannya, mengapa kerajaan Persekutuan tidak pernah benar-benar merealisasikan peruntukan ini? Jawapannya mudah kerana kita tidak pernah benar-benar memperjuangkannya secara serius.
Dulu memang ada disebut tetapi tidak pernah diuruskan bersungguh-sungguh dalam konteks kerajaan Persekutuan.
Bagi kami dalam PN, aspirasi itu akan lebih mudah direalisasikan jika kita menjadi sebahagian daripada parti nasional dan menjadi kerajaan di peringkat nasional.
MM: Siapa akan undi Bersatu jika sudah ada Warisan, PH dan BN?
Konsep parti tempatan di Sabah berbeza dengan Sarawak. Kerajaan Negeri Sabah terakhir yang benar-benar berasaskan parti tempatan adalah pada 1994 di bawah PBS. Sejak itu, Sabah diperintah kerajaan hibrid.
Rakyat Sabah sudah terbiasa dengan realiti ini, malah generasi selepas 1994 tidak pernah merasai pemerintahan tulen berasaskan parti tempatan sahaja.
Sebaliknya di Sarawak, kerajaan negeri dipimpin parti tempatan tanpa campuran parti nasional.
Walaupun PKR atau DAP pernah menang kerusi di Sarawak, mereka tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
Sarawak kekal kerajaan berasaskan parti tempatan sepenuhnya.
Ada pemimpin Sabah berhujah kita harus mencontohi Sarawak. Mereka mengatakan Sarawak maju kerana ditadbir parti tempatan.
Namun bagi saya, kemajuan itu bukan kerana konsep parti tempatan tetapi kepimpinan yang berkesan. Sarawak lebih ke hadapan dalam banyak aspek pembangunan kerana pemimpin mereka bijak mengurus.
Di Sabah pula, walaupun berbilion ringgit disalurkan termasuk untuk isu air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun masalah masih tidak selesai. Ini soal kepimpinan, bukan semata-mata konsep parti.
Walau begitu, kita tidak dapat menghalang parti tempatan Sabah daripada terus mempropagandakan konsep parti tempatan Sabah.
Dulu, isu besar yang mereka perjuangkan tuntutan mengembalikan Labuan kepada Sabah. Namun selepas lebih 20 tahun, isu itu lenyap, sedangkan Labuan masih kekal sebagai Wilayah Persekutuan. Jelas, banyak slogan itu bersifat politik saja.
MM: Bagaimana pula dengan sentimen kadazan-Dusun-Murut di Sabah?
RK: Hakikatnya orang Sabah bersifat sangat pragmatik. Jika kita turun ke Tawau, Beluran hingga Kalabakan, masalah utama rakyat bukan soal politik semata-mata tetapi isu asas seperti gangguan elektrik, ketiadaan air hingga berhari-hari dan banjir di Pantai Barat yang masih gagal ditangani kerajaan.
Inilah isu kritikal yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Orang Sabah terkenal sebagai rakyat dinamik dan berani membuat perubahan.
Sejarah membuktikan mereka menukar kerajaan lebih kerap berbanding negeri lain, daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) ke Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), kemudian ke PBS, seterusnya BN dari 1994 hingga 2018.
Semua ini mencerminkan sikap pragmatik rakyat Sabah dalam memilih kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah mereka.
Berbeza dengan di Semenanjung yang banyak dipengaruhi faktor 3R (agama, raja dan kaum) sebaliknya Sabah lebih berlandaskan kemampuan sebenar kerajaan.
Dari jelajah yang kami lakukan sejak beberapa bulan lalu, jelas ramai hadir bukan sahaja daripada PN tetapi juga penyokong parti lain seperti Warisan, UMNO dan GRS.
Orang Sabah memiliki banyak ‘baju parti’, dan akan memakai baju mana yang sesuai pada waktunya.
KES RASUAH CETUS KEMARAHAN RAKYAT
MM: Selain naratif Sabah for Sabahan, adakah Datuk Seri berpandangan kes Zara Qairina Mahathir akan mempengaruhi pola pengundian?
RK: Soal sama ada isu Zara Qairina akan mempengaruhi pola pengundian masih belum jelas.
Namun, sambutan besar-besaran terhadap kes itu menunjukkan ada faktor mendalam yang sedang berlaku.
Jika kita lihat di Nepal atau Bangladesh, kemarahan rakyat bukan berpunca daripada isu remeh atau media sosial semata-mata tetapi daripada kekecewaan terhadap pemimpin yang tidak cekap dan terpalit rasuah. Begitu juga yang berlaku di Indonesia.
Situasi di Sabah tidak jauh berbeza. Rakyat setiap hari berdepan masalah asas seperti ketiadaan air, gangguan elektrik dan jalan raya yang teruk.
Pada masa sama, pemimpin kerajaan dikaitkan dengan rakaman video pengakuan menerima rasuah. Dua sudah dituduh di mahkamah, enam lagi belum, meski pun bukti rakaman itu tular.
Penjelasan rakaman tidak jelas hanya menimbulkan persepsi bahawa wujud pendakwaan terpilih.
Inilah mencetuskan kemarahan rakyat.
Mereka melihat kerajaan hari ini gagal mengurus masalah asas, sementara pemimpinnya pula berdepan tuduhan rasuah yang tidak ditangani secara adil.
Orang Sabah terkenal sebagai pengundi yang dinamik dan berani membuat perubahan.
Jika di Nepal kerajaan boleh tumbang akibat kemarahan rakyat terhadap korupsi, maka di Sabah juga gelombang sama boleh berlaku.
Faktor yang lebih besar adalah ketidakpuasan hati rakyat terhadap rasuah, ketidakcekapan dan kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah harian mereka.
Inilah akan jadi penentu dalam pilihan raya nanti.
MM: Isu kerusi panas Karambunai menjadi tumpuan apabila Pas berminat bertanding di kawasan itu. Persoalannya, siapakah yang akan mewakili parti di situ?
RK: Perbincangan akan dibuat secara teliti di peringkat pusat. Pelantikan Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah menunjukkan keseriusan PN dalam menyusun strategi.
Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan, sekurang-kurangnya 37 kerusi diperlukan.
PN sudah menetapkan hasrat untuk bertanding lebih daripada separuh kerusi, bukan sekadar untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi untuk menawarkan diri sebagai parti yang berupaya memimpin kerajaan negeri.
Dalam konteks itu, Karambunai adalah kerusi strategik yang mesti ditangani dengan bijak.
PN akan menilai berdasarkan kekuatan akar umbi dan potensi kemenangan kerana matlamat utama memastikan kemenangan parti dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah.
MM: Datuk Seri sendiri merupakan ‘arkitek’ yang membangunkan semula Bersatu setelah dikhianati pada 2022, wajarkah Datuk Seri dijadikan ‘poster boy’ untuk PRN Sabah?
RK: Saya belum tahu mahu bertanding atau tidak kerana masih ahli Parlimen tetapi sedang mencari-cari, melihat potensi yang ada.
Sebelum ini juga saya bertanding pada saat akhir selepas Datuk Seri Hajiji membuang nama saya di bawah GRS. Dan sebab itu, saya mengambil watikah di bawah PN.
Apapun semua bergantung pada keputusan parti.
MM: Apakah jaminan Bersatu tidak akan berdepan sekali lagi ‘pengkhianatan pasca PRU15 pada 2022?
RK: Hari ini kemarahan itu makin memuncak kepada Hajiji dan GRS. Pengundi akar umbi PN dan Bersatu marah kerana sepatutnya beliau mempertahankan panji-panji Ketua Menteri tetapi memilih menjarakkan diri, lalu keluar daripada PN.
PN membuat perhitungan yang salah dengan membenarkan penubuhan GRS di Sabah. GRS ditubuhkan sepatutnya untuk memperkukuhkan PN tetapi kebaikan Muhyiddin dan PN disalahguna Hajiji untuk kepentingan peribadi.
MM: Adakah PRN Sabah ini akan menamatkan drama pengkhianat GRS terhadap Bersatu dan PN?
RK: Kita harap itu akan berlaku. Kita juga berharap pengundi Sabah akan membuat perhitungan bagi memastikan pemimpin yang tidak kompeten untuk memimpin negeri ini akan ditumbangkan pada PRN kali ini.
MM: Trend pengundian rakyat Sabah masih bergantung kepada populariti calon atau bagaimana?
RK: Sabah sangat unik, calon Bebas pun boleh menang. Rakyat Sabah berani, mereka tidak melihat parti tetapi apa yang terbaik untuk mereka. Mereka juga lihat calon yang diketengahkan.
Jadi, atas dasar ini saya percaya rakyat Sabah akan menghukum ahli politik yang terpalit dengan isu-isu rasuah.
Wawancara Bersama Wartawan Mingguan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid, Aslinda Nasir Dan Fitri Nizam dan diterbitkan pada 21 Sep 25.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.