
KUALA LUMPUR, 31 DIS 25 — Sebahagian akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dipercayai secara senyap-senyap mengharapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melepaskan jawatan sebagai Presiden parti itu.
Profesor Kehormat Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata harapan tersebut wujud dalam kalangan akar umbi yang mahu Muhyiddin menumpukan perhatian kepada usaha membaik pulih imejnya yang telah tercemar akibat pelbagai tuduhan terhadapnya.
Mengulas pengunduran Muhyiddin daripada menerajui Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fauzi menyifatkan langkah itu sebagai “lebih baik lambat daripada tidak”, yang melegakan ramai pihak dalam PN, khususnya dalam kalangan pimpinan dan penyokong BERSATU serta PAS.
Menurut beliau, PN tidak mampu membiarkan dirinya terus dipimpin oleh seorang tokoh yang dirundung pelbagai masalah berkaitan kes mahkamah, tuduhan rasuah serta persepsi awam yang menjejaskan keupayaan gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan mendepani cabaran kerajaan gabungan PH-BN.
Ahmad Fauzi turut berpandangan perkembangan itu membuka persoalan sama ada PAS akan menuntut kepimpinan PN selepas ini, sebagaimana yang sering diwar-warkan oleh sebahagian penyokong parti tersebut.
Beliau menegaskan, dengan pengunduran seorang tokoh besar yang juga bekas Perdana Menteri, pengganti Muhyiddin kelak perlu memiliki kewibawaan sekurang-kurangnya menghampiri taraf seorang bakal Perdana Menteri bagi membolehkan PN menyaingi reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.