
KUALA LUMPUR, 29 Mei 25 – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang didakwa enggan membenarkan pihak pembelaan mendapatkan beberapa dokumen bukti penting walaupun telah diluluskan oleh mahkamah.
Menurutnya, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonannya untuk mendapatkan dokumen berupa penyata bank yang dianggap relevan dan perlu bagi pembelaan kes yang sedang dihadapinya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dilaporkan memaklumkan bahawa pihaknya menerima arahan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi membantah keputusan tersebut.
“Hari ini mahkamah membenarkan permohonan saya untuk mendapatkan beberapa dokumen bukti. Mahkamah bersetuju bahawa dokumen yang saya minta adalah relevan dan diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, langkah pendakwaan untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi mencetuskan persoalan mengenai keengganan mereka menyerahkan dokumen yang diminta, sedangkan ia hanya melibatkan penyata bank.
“Saya masih tidak faham kenapa pendakwa begitu keras mahu menghalang dokumen ini dikongsi dengan kami. Jika tiada apa-apa yang mahu disembunyikan, sepatutnya amat mudah untuk pendakwa memenuhi permintaan kami,” katanya lagi.
Wan Saiful turut membangkitkan persoalan sama ada dokumen tersebut mengandungi maklumat sensitif yang cuba dilindungi pihak tertentu.
“Dokumen itu hanya penyata bank sahaja. Apa agaknya rekod bayaran atau penerimaan yang begitu sensitif dan tidak boleh dikongsi sehingga mereka sanggup bawa ke Mahkamah Tinggi?” soalnya.
Beliau juga menyifatkan arahan untuk membantah keputusan mahkamah itu sebagai satu bentuk tekanan terhadap usaha pihak pembelaan untuk mendapatkan keadilan. @politiko.my