Penyokong Muhyiddin Tolak Cadangan PAS

KUALA LUMPUR, 15 Jun 25 –  Segelintir akar umbi Bersatu dilihat tidak bersetuju dengan cadangan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN) sekiranya terdapat pemimpin tertinggi gabungan pembangkang itu dilihat terpinggir.

Ketua Armada Bersatu Pagoh Mohd Idzharruddin  Mohd Nasirrudin berkata, ketika rakyat bergelut dengan pelbagai cabaran masalah kehidupan disebabkan penarikan subsidi, isu rombakan struktur organisasi dengan memusatkan kuasa kepada individu tertentu tidak seharusnya timbul.

Exco Armada itu menegaskan, PN perlu mendapatkan kepercayaan rakyat dalam tindakan mereka dan percaturan kuasa kepada pemimpin tertentu tidak membantu mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Perjuangan PN tidak boleh terperangkap dalam gelembung Putrajaya yang terlalu berpusat kepada siapa pegang kuasa apa.

“Akar perjuangan ini mesti kembali kepada rakyat. Kembali kepada sawah, pasar, kilang, sekolah, warung kopi, dan medan sosial tempat rakyat bergelut mencari harapan

“Percaturan kuasa, sebaik dan selicik mana pun, tidak akan membawa makna jika rakyat tidak lagi percaya.

“Dalam suasana ekonomi yang menekan, kos hidup yang terus meningkat, dan keletihan rakyat terhadap politik yang tidak selesai-selesai, apa yang paling diperlukan kini ialah suara pembangkang yang berfungsi bukan satu lagi episod drama dalaman elit politik,” katanya, dalam satu kenyataan.

Katanya, PN mesti menjadi pembangkang yang bukan sekadar mengkritik, tetapi yang mendengar dan menawarkan jalan keluar daripada segala permasalahan dan kebangkitan rakyat mesti disambut dengan baik.

Menurutnya, dalam politik matang, kemenangan bukan ditentukan oleh siapa paling pandai berstrategik, tetapi keikhlasan, bersungguh-sungguh, dan  tanggungjawab kepada rakyat.

Megat Muhammad Faris, yang juga ahli Bersatu seumur hidup berpandangan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diberikan jawatan ketua pembangkang.

Jawatan itu kini disandang Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Beliau juga merupakan arkitek utama dalam pembentukan dan kelangsungan PN, kepimpinan beliau dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan politik membuktikan bahawa beliau memiliki ketegasan, kematangan serta kefahaman mendalam tentang keperluan rakyat dan negara.

“Peranan beliau sebagai presiden tidak harus bersifat simbolik semata-mata, tetapi perlu diberi autoriti politik dan strategik yang setimpal untuk mengemudi hala tuju gabungan ini secara langsung,” katanya, dalam hantaran media sosial.

Langkah itu katanya akan memperkukuhkan kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi PN yang sah, dihormati dan diberi kuasa penuh untuk memimpin perjuangan mereka. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share