Asas-Asas Fundamental Konsensus Nasional Baru

Selama tiga minggu berturut-turut yang lalu saya telah mengupas dengan ringkas tiga tonggak gagasan Konsensus Nasional Baru oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, iaitu ‘Matlamat Bersama’, ‘Kemakmuran Bersama’ dan ‘Tadbir Urus Berperikemanusiaan’.

Konsensus Nasional Baru merupakan garis-garis besar haluan perjuangan untuk membina Malaysia yang lebih baik. Pada saya, istilah ‘baik’ di sini bermakna ‘maju’, ‘makmur’ dan ‘bahagia’, di mana setiap satu makna itu dipadankan dengan setiap satu daripada tonggak tersebut.

Konsensus Nasional Baru merangkumi matlamat, tiga tonggak dan  dasar-dasar utama  yang seharusnya dilaksanakan sebagai amanah oleh sebuah kerajaan yang berfungsi (a functional government), bertanggungjawab dan responsif demi kemajuan, kemakmuran dan kebahagiaan seluruh rakyat pada masa ini dan masa depan.

Ia berorientasi kepentingan rakyat Malaysia yang pelbagai bahasa, budaya dan agama; yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; di bandar dan luar bandar; dari pelbagai golongan dan pekerjaan; yang majoriti dan minoriti; dan diaspora Malaysia yang berada di luar negara.

Ia menggambarkan semangat dan perjuangan rakyat yang punya sejarah panjang, berkesinambungan dan berjaringan. Ia mengambilkira peranan dan sumbangan semua pihak, sama ada yang terdahulu atau yang baharu, yang awal bersama atau yang baru bersama, yang sealiran atau tidak.

Pokoknya, ia merangkumkan dan mengoptimumkan semua kumpulan yang ingin berbakti kepada rakyat, iaitu dalam satu gabungan gerakan yang besar.

Konsensus Nasional Baru dipandu nilai-nilai dan prinsip-prinsip tinggi yang lahir dari agama, sejarah dan kebudayaan. Rujukan utamanya ialah al Quran dan sunnah, Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Perjanjian Malaysia 1963.

Contoh nilai-nilai tersebut ialah keimanan, kebenaran, keadilan, kebebasan, kedaulatan, budaya ilmu, pembinaan peradaban dan tamadun, pembangungan insan, pembaharuan/islah, demokrasi/syura, hak asasi manusia, rule of law, integriti, anti-rasuah, perpaduan, pembangunan, kebahagiaan, peluang, meritokrasi, potensi individu dan keamanan dunia.

Hamzah menyimpulkan semua itu dalam satu frasa yang amat tepat dan padat, iaitu ‘amar makruf nahi mungkar’. Ini diiringi dengan komitmen untuk menegakkan semua nilai dan prinsip tersebut secara praktikal, bersesuaian dan bermanfaat untuk semua.

Melalui tiga tonggaknya, Konsensus Nasional Baru melakar dasar-dasar utama pembangunan negara yang meliputi seluruh bidang dan sektor, iaitu politik, ekonomi dan sosial serta peranan semua pihak iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.

Dasar-dasar utama tersebut dikawal oleh satu set teras yang fundamental (foundational), iaitu:

  • Perpaduan rakyat sebagai asset dan kekuatan negara yang unik, bukannya sekadar satu kementerian/agensi.
  • Menjadikan kesederhanaan (wasatiyyah, moderation) sebagai pendekatan utama pembangunan negara.
  • Membangun demokrasi yang matang dan stabil, iaitu demokrasi pelbagai-kaum dan moderat.
  • Mengamalkan politik bersifat centrist (pertengahan).
  • Sistem ekonomi yang market-driven tetapi seimbang dan berciri manusiawi.
  • Dasar Ekonomi Berwawasan dengan sumber ekonomi tertentu sebagai paksi.
  • Pembaharuan institusi-institusi, sistem-sistem dan undang-undang.
  • Pendekatan dan amalan federalist.
  • Penyusunan-semula T20, M40 dan B40.
  • Hubungan harmoni antara Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan/Undang-undang Tubuh Negeri-negeri.
  • Meningkatkan kefahaman dan amalan demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri. Artikel ini telah disiarkan di Sinar Harian, 29 Mei 26

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share