
KUALA LUMPUR, 30 Mei 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar memohon imuniti bagi perbicaraan kes sivil di mahkamah kerana kedudukan itu tidak kebal dari tindakan undang-undang, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Timbalan presiden Bersatu itu menegaskan, Anwar wajar membersihkan dirinya dengan menjawab di mahkamah terhadap segala tuduhan tersebut.
“Jawatan perdana menteri bukan kebal, daripada undang-undang. Dalam kes terkini perdana menteri wajib pertahankan dirinya sebagai individu, apatah lagi maruah institusi perdana menteri bukan mohon imuniti daripada mahkamah.
“Jawatan perdana menteri adalah amanah Allah dan akan dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat nanti,” kata Hamzah, dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di media sosialnya, hari ini.
Jelas ahli Parlimen Larut itu lagi,Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semua orang sama rata di sisi undang-undang, dan berhak mendapat perlindungan sama rata.
“Sekiranya hak ini dinafikan rakyat akan memberontak, sistem akan gagal.
“Terutamanya bila mereka yang berkuasa dilihat menyalahgunakan kuasa dengan jadikan kedudukan sebagai perisai besi untuk melindungi diri daripada dihakimi,” tegasnya.
Jelasnya lagi, sekiranya permohonan Anwar dinantikan, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan.
“Mahkamah medan terbaik sesiapa bersihkan diri ikut lunas undang-undang. Ketidakadilan akan mencetuskan prasangka layanan dua darjat dan diskriminasi.
“Rakyat akan hilang kepercayaan apatah lagi pelabur asing yang menganggap negara ditadbir oleh undang-undang rimba,” tegas Hamzah. @politiko.my