Perjuangan politik melibatkan “3P”, iaitu Pertiwi, Parti dan Peribadi. Ketiga-tiganya adalah realiti. Tetapi, perjuangan menuntut ketiga-tiganya duduk pada tempatnya. Pertiwi mesti di tempat tertinggi.
Tetapi, ketiga-tiganya mesti memenuhi tuntutan perjuangan lebih tinggi – suci – iaitu menegakkan seruan Ilahi yang diturunkan lewat para Nabi, “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh (agar membuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Ali ‘Imran: 104)
Ini diterjemah sebagai nilai-nilai murni, contohnya kebenaran dan keadilan.
Pertiwi
Bagi Malaysia, dengan dipandu Perlembagaan Persekutuan, dari semasa ke semasa, tercetus kerangka perjuangan pembangunannya. Contohnya, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.
Terkini ialah gagasan Konsensus Nasional Baru. Ia bertujuan untuk, pertama, menyelesaikan masalah-masalah semasa melalui reset politik dan membetulkan ekonomi, dan kedua, membangunkan negara secara lebih komprehensif dan sistematik untuk kejayaan masa depan yang benar-benar bermakna dan mampan buat setiap rakyat.
Sistem-sistem, institusi-institusi dan undang-undang perlu diperbaiki. Contohnya, institusi parlimen dan kehakiman; sistem pilihan raya, perkhidmatan kerajaan, pendidikan dan kesihatan; serta undang-undang tertentu.
Kek ekonomi perlu dibesarkan dan diagihkan secara saksama dengan menyalakan semula ekonomi dan menyuburkan kekayaan baru.
Parti
Parti, sama ada individu atau gabungan, ialah wadah untuk merealisasikan perjuangan pertiwi. Perlembagaan-perlembagaannya adalah panduan. Namun, ia tetap diatasi Perlembagaan Persekutuan dan ajaran Tuhan.
Parti harus punya ideologi yang dihayati ahli dan yang diterangkan kepada warga pertiwi. Sekurang-kurangnya untuk mendapatkan undi. Tetapi, lebih baik sekiranya dapat diterjemah menjadi polisi pertiwi.
Parti juga bertanggungjawab mematangkan demokrasi. Perlu wujud pemikiran politik yang konkrit. Contohnya, perjuangan Islam, nasionalisme inklusif dan politik baru yang meliputi integriti dan demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum, progresif dan moderat.
Dari semasa ke semasa, parti memperkasa dirinya. Parti-parti bergabung untuk peluang lebih baik memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan.
Keadah bergabung ialah untuk mencapai objektif-objektif yang dikongsi bersama. Apabila timbul kesukaran membentuk gabungan terbaik, maka, wajarlah menggunakan pendekatan Islam, iaitu apabila bertemu dua kemudaratan, pilihlah kemudaratan yang lebih ringan.
Peribadi
Peribadi yang berjuang untuk pertiwi melalui parti hendaklah memiliki rukun perjuangannya sendiri, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.
Amat sukar memilih parti yang ideal. Harus mengemudi dengan menjadikan perjuangan yang dituntut Ilahi dan pertiwi serta rukun perjuangannya sebagai kompas, serta jangan lupa pengkalan.
Kepentingan peribadi boleh merosakkan parti dan menyusahkan pertiwi. Contohnya, 1MDB.
Tidak ada peribadi sempurna. Dalam ehwal peribadi-peribadi, Nabi Noh dan Nabi Lut tidak berjaya mendakwah keluarganya. Tetapi dalam ehwal peribadi-pertiwi, Khalifah Umar al-Khattab melarang anaknya daripada dicalonkan dalam panel memilih penggantinya.
Sejarah menunjukkan bahawa peribadi tidak dapat mengatasi kepentingan perjuangan yang lebih tinggi walaupun dia pengasas parti.
Peribadi mesti tawaduk dalam bertuhan, bukannya diangguk dan dituhankan.
Kesimpulannya, parti dan peribadi datang dan pergi. Tetapi pertiwi tetap di sini hingga akhir nanti. Dan Allah jua yang Maha Mengetahui.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan PN.
Artikel ini turut disiarkan di Sinar Harian, 9 Jan 26
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.