PN Belum Mampu Satukan Melayu, Perlu Langkau Matlamat Kuasa

KUALA LUMPUR, 13 MEI 25 – Penyatuan Melayu mesti digerakkan melangkaui matlamat mendapatkan kuasa memerintah semata-mata sebaliknya tujuan yang jelas untuk memastikan ia mampu berkekalan.

Anuar Mahmod, 45, peniaga dari Pulau Pinang berkata, penyatuan orang Melayu atas dasar kuasa semata-mata tidak akan mampu bertahan lama.

“Secara strategiknya kita kena bersatu. Pada masa sama penyatuan atas idealisme perjuangan supaya ia boleh berpanjangan, kalau semata-mata atas dasar kuasa, akan berpecah balik.

“Matlamat kena jelas dan macam mana nak dicapai. Kalau gabungan untuk kuasa akan berderai cepat kalau berdasarkan pengalaman lepas.

“Ia perlu dilakukan dengan ambil kira soal perlembagaan, yang patut menjadi asas untuk kita bergabung mencapai tujuan, seperti (membela) Akta 153 dan kemakmuran bersama untuk semua kaum,” katanya, kepada politiko.my

Tambahnya, Perikatan Nasional (PN) dilihat masih gagal untuk menjadi payung penyatuan Melayu.

Pembangkang itu katanya tidak mempunyai visi dan matlamat jelas berkenaan penyatuan Melayu yang dimaksudkan.

“Rakyat lihat PN masih tak mampu jadi alternatif yang boleh bawa reformasi menyeluruh sebab tiada agenda jelas dalam membangunkan ekonomi Melayu.

“Tapi kita tak nafikan ia ada potensi sekiranya digerakkan dengan betul dan guna pakai pemikir Melayu tak semestinya dalam PN sahaja.

“Ia mesti lebih besar dari agenda kuasa semata-mata,” katanya.

Annuar Hashim, 38, seorang pekerja bebas (freelancer) dari Johor Bahru berkata, PN perlu mencari satu susuk baharu yang mampu memangkin semangat penyatuan Melayu kerana pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak lagi berupaya membawa agenda berkenaan.

“Bawah PN boleh sekiranya dipimpin ahli politik berwibawa.

“Muhyiddin tak berwibawa terpalit isu skandal rasuah menantu dia. Inilah masalah kita siapa yang layak untuk memimpin,” katanya.

Nora, 41, seorang usahawan kecil dari Melaka, turut berkongsi pendapat sama, dan merasakan PN tidak serius untuk kembali berkuasa.

“PN sahaja satu-satunya pilihan yang orang Melayu ada sekarang ni.

“Tapi PN macam tak bersungguh nak menang, tak pasti kenapa…mungkin kena beri semangat lebih kepada Muhyiddin, harap dia bangkit dan satukan suara pembangkang,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share