
KUALA LUMPUR, 8 Sep 25 – Hubungan antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kini berada pada tahap paling kontra sejak kerjasama kedua-dua parti dimeterai pada Februari 2020, menurut penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang membayangkan rasa kesal PAS terhadap keputusan Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri PN bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Pengumuman itu dibuat dalam keadaan PAS sebelum ini menjelaskan pendirian untuk menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri selepas keputusan PRU16 diumumkan,” katanya.
Menurut Dr Mazlan, langkah Bersatu itu menzahirkan perbezaan paling ketara dalam sejarah hubungan kedua-dua parti sejak mereka bergabung pasca peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020.
“Garis paling kontra ini berisiko membawa kepada perpecahan dalam PN jika tidak ditangani secara bijaksana,” tambahnya.
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hari ini meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.