PN Belum Putus Siapa Calon PM, Kata Hamzah

KUALA LUMPUR, 1 MEI 25 – Perikatan Nasional (PN) hanya akan memutuskan calon perdana menteri gabungan pembangkang itu bila tiba masa yang sesuai, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah berkata, beliau belum tentu diangkat sebagai calon perdana menteri, namun tidak menolak berkemungkinan merupakan salah seorang daripada calon yang ada.

“Bakal perdana menteri…pada saya jawapannya salah seorang calon perdana menteri saya boleh terima, kalau nak kata bakal perdana menteri tak adil.

“Saya ada presiden dan parti gabungan. Ada PAS, parti lain, Gerakan, MIPP itu gabungan dalam PN.

Siapa patut jadi PM belum diputuskan. Saya mahu menjawab soalan mudah, yang penting kita sentiasa bersatu tentukan masa depan kita ikut apa yang rakyat mahukan,” kata Hamzah, dalam rancangan podcast The Zaid Ibrahim.

Katanya, penentuan calon perdana menteri adalah strategi parti dan hanya ditentukan bila masanya sesuai.

“Kalau rakyat mahukan kita sudah tentu kita sesama kita akan tentukan siapa jadi pilihan perdana menteri.

“Penentuan dibuat bila tempoh dah akhir-akhir parlimen itu sendiri, sekarang baru dua setengah tahun, ada lagi 50% untuk tamatkan parlimen kali ini.

“Sudah tentu strateginya waktu yang tepat dan waktu ini masih lagi awal kerana kedudukan parti kita setuju presiden kita masih pengerusi PN. Dia masih ketua kita. Kita akan tentukan bila sampai masanya,” kata Hamzah.

Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun berkata, pihaknya bersyukur ramai yang berminat dengan PN berhubung calon perdana menteri petanda keyakinan mereka terhadap gabungan pembangkang.

“Kalau ramai orang bertanya ramai berminat dengan parti kita. Ramai mempunyai sifat terbuka bersama dalam menentukan masa depan negara melalui PN.

“Saya bersyukur kalau ramai bertanyakan. Maknanya mereka yang berminat adalah mereka yang saya yakin mempunyai tujuan dan matlamat sama dengan PN.

“Tapi strategi kita bila nak umum dalam politik perlu ada strategi tepat,” jelas Hamzah lagi.@politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share