
KUALA LUMPUR, 10 Sep 25 – UMNO Sabah menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempercepat keputusan berhubung pendakwaan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan skandal perlombongan di negeri itu, susulan dua ADUN lain sudah didakwa di mahkamah.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata rakyat berhak mengetahui status sebenar sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 diadakan.
“Siasatan dan pendakwaan terhadap enam lagi ADUN mesti berakhir sebelum PRN. Rakyat Sabah berhak mengetahui semua kebenaran agar mereka dapat membuat keputusan yang bijak dan rasional untuk memilih parti yang jujur dan beramanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Gesaan itu hadir selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan dua ADUN iaitu Andy Suryandy Bandy dan Yusof Yacob sudah dituduh di mahkamah, manakala enam yang lain masih menunggu keputusan AGC.
Isu ini turut mengundang reaksi bercampur apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan pendakwaan tidak boleh bergantung kepada “khabar angin”.
Namun, pendedah skandal berkenaan, ahli perniagaan Albert Tei, menolak kenyataan itu dengan mendakwa bukti yang diserahkan kepada SPRM bukan sekadar video, tetapi juga dokumen kewangan dan data lain yang disahkan silang.
Skandal perlombongan Sabah sejak beberapa bulan lalu menjadi tumpuan politik negeri, malah didakwa boleh mempengaruhi pola pengundian menjelang PRN akan datang sekiranya tidak ditangani dengan telus. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.