
KUALA LUMPUR, 5 Sep 25 – Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dimuktamadkan selepas mesyuarat tertutup bersama pimpinan Umno dan BN Sabah yang turut dihadiri oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kami mengambil keputusan bahawa Umno dan BN Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN akan datang. Namun kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tetap diteruskan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Kota Kinabalu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah penggal ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-17.
Keputusan Umno dan BN Sabah ini dilihat sebagai isyarat politik tegas terhadap landskap gabungan parti di negeri itu, sekaligus mengesahkan pertembungan besar bakal berlaku menjelang pilihan raya.
Baru-baru ini, Warisan menegaskan ia akan bertanding secara bebas dengan menggunakan logo sendiri, dan tidak terlibat dengan mana-mana gabungan politik, termasuk GRS, Pakatan Nasional (PN), dan Barisan Nasional (BN).
Penggal ke-16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir secara automatik pada 11 November 2025, kecuali dibubarkan lebih awal. Tempoh lima tahun penggal dikira mulai sidang pertama Dewan tersebut yang berlangsung pada 12 November 2020. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.