
KUALA LUMPUR | 18 Mac 26 — Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, yang disifatkan berpotensi menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali negara.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius laporan media mengenai kehadiran aset berkenaan, termasuk kapal pembasmi periuk api (mine countermeasure vessels, MCMV) yang lazimnya digunakan untuk operasi di laluan maritim strategik.
Beliau berkata, dalam konteks perkembangan geopolitik semasa, aset seumpama itu sering dikaitkan dengan operasi di kawasan kritikal seperti Selat Hormuz yang menjadi antara titik tumpuan konflik melibatkan kuasa besar.
“Sehubungan itu, kehadiran aset tersebut menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan sebagai pemudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkaitan konflik negara luar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada masa sama, beliau berkata PN mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengenai pendirian Malaysia untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk konflik ketenteraan serta komitmen terhadap dasar berkecuali, keamanan dan kestabilan serantau.
Bagaimanapun, katanya, situasi berkenaan berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat serta imej negara di peringkat antarabangsa sekiranya tidak diperjelaskan.
Menurut beliau, kerajaan perlu memberi penjelasan secara tuntas dan telus mengenai tujuan serta status kehadiran aset berkenaan, termasuk sama ada ia berada dalam transit ke atau dari kawasan operasi seperti Selat Hormuz.
“Kredibiliti Malaysia bergantung kepada keselarasan antara prinsip yang dinyatakan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan,” katanya.
Terdahulu, memetik laporan defencesecurityasia.com, Tentera Laut Amerika Syarikat mengesahkan kehadiran dua buah kapal tempur pesisir kelas Independence yang dirakam berlabuh di North Butterworth Container Terminal di Pulau Pinang pada 15 Mac 2026.
Jurucakap Tentera Laut Amerika Syarikat, Komander Joe Hontz, mengesahkan pada 16 Mac 2026 bahawa kapal-kapal tersebut melakukan persinggahan logistik di Malaysia bagi mengisi bahan api, air dan bekalan, sambil menyatakan bahawa lawatan pelabuhan sedemikian mencerminkan kerjasama pertahanan erat Amerika Syarikat–Malaysia walaupun berlaku ketika krisis keselamatan maritim yang menjejaskan laluan tenaga global. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.