PN Tidak Mampu Jadi Payung Satukan Melayu, Kata Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 23 Mei 25 – Perikatan Nasional (PN) tidak berupaya menjadi payung penyatuan orang Melayu walaupun pembangkang itu menerima sokongan yang tinggi daripada kelompok pengundi Melayu ketika PRU15.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada mana-mana parti yang berupaya menyatupadukan orang Melayu kerana parti-parti kecil itu tidak akan mampu menang pilihan raya.

“Perikatan Nasional pun tak boleh, mana mana-parti yang ada sekarang tak boleh. Kita nak orang Melayu bersatu dan undi untuk orang Melayu, waktu ini kita tidak ada parti, tapi bila datang PRU akan ada cara-cara tertentu supaya orang Melayu boleh undi calon-calon Melayu yang berjuang untuk orang Melayu.

“Dulu semua orang Melayu berada dalam Umno, Umno jadi parti besar dan boleh menang tetapi malangnya entah kenapa Umno sudah lari dari perjuangan umno, dengan itu ramai orang tidak lagi menyokong Umno berpecah menubuh parti parti kecil dan mereka tidak boleh menang,” katanya, ketika sidang media selepas pelancaran buku di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, setiap parti politik mempunyai matlamat masing-masing sekaligus menyukarkan matlamat untuk orang Melayu kembali bersatu sepertiereka menolak penubuhan Malayan Union.

“Parti apa pun saya tidak ada ikatan dengan mana-mana parti, saya cuma orang Melayu macam kamu, kita semua Melayu dan berjuang untuk orang Melayu, bukan untuk parti.

“Parti ada matlamat masing-masing dia tak boleh bersatu tapi kalau Melayu menghadapi masalah kita boleh bersatu dan kita jadi kuat.

“Kita masih ingat semasa kita lawan Malayan Union masa itu orang Melayu miskin tidak ada cerdik pandai tidak ada duit macam-macam tapi boleh lawan dengan British dan menang, kenapa menang? kerana orang Melayu bersatu. Sekarang tak boleh menang pasal apa, pasal tak bersatu,” katanya.

Negarawan itu turut menolak untuk memainkan sebarang peranan dalam PRU16 akan datang, sebaliknya konsisten memperjuangkan penyatuan seluruh orang Melayu dalam negara.

“Saya sudah nyatakan buat masa ini saya mempromosikan penyatuan orang Melayu, dengan itu baru mereka boleh jadi kuat dan mentadbir negara.

“Sejak sekian lama negara ini ditadbir kerajaan majoriti Melayu dan kerajaan adil kepada semua kaum, kalau Melayu tak kuat mereka tak bersatu mereka akan kalah dan mereka tidak boleh mainkan apa-apa peranan dalam PRU16,” tambahnya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share