Elakkan Spekulasi Pelantikan Hakim – Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR, 17 Jul 25 – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah bertitah agar semua pihak mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara berkaitan proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.

Titah baginda, perlunya keperluan mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan mengenai proses dan tatacara pelantikan hakim kanan mahkamah atasan.

“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

“Dalam proses rundingan tersebut, Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.

Sultan Sharafudin bertitah demikian ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini yang berlangsung semalam selepas mesyuarat pre-council kelmarin.

Antara agenda utama yang dibincangkan mesyuarat itu adalah berkaitan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

“Dalam hal ini, Beta menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat  Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.

“Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titahnya.

Awal minggu ini, lebih 1,000 peguam berarak dari perkarangan Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri untuk menuntut kebebasan institusi kehakiman negara.

Tuntutan termasuk ketelusan pelantikan jawatan kehakiman, pendedahan minit mesyuarat JAC, penubuhan RCI berhubung dakwaan campur tangan kehakiman, dan penyelesaian isu kekosongan jawatan dalam institusi kehakiman. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share