PN Tubuh Jawatankuasa Teknikal Perhalusi Cadangan Struktur Semula Gabungan

KUALA LUMPUR, 18 Jul 25 – Perikatan Nasional (PN) sudah pun menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal berhubung cadangan penstrukturan semula gabungan pembangkang itu, kata Datuk Marzuki Mohamad.

Bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menjelaskan dalam satu pertemuan pucuk pimpinan tertinggi pembangkang itu pada 5 Feb lalu, jawatankuasa teknikal itu akan dipengerusikan timbalan presiden Bersatu dan PAS.

“Biro politik Bersatu juga telah bermesyuarat pada 23 Mac 2025 untuk membawa beberapa cadangan balas kepada jawatankuasa teknikal bersama.

“Langkah seterusnya ialah jawatankuasa teknikal bersama itu mengadakan mesyuarat.

“Majlis Tertinggi PN tidak boleh membincangkan cadangan ini selagi tidak ada syor daripada jawatankuasa teknikal bersama,” katanya, dalam hantaran di Facebook.

Marzuki berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar yang berkata saranan PAS berhubung perkara itu tidak boleh diperkecilkan Bersatu.

Menurutnya, ia dikhuatiri menjadi bibit perpecahan seperti yang berlaku kepada kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS.

Marzuki turut menepis tanggapan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengelak daripada melaksanakan cadangan tersebut.

“Jadi bagi saya kita serah lah kepada jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan untuk mengkaji cadangan ini secara lebih terperinci dan bawa ke Majlis Tertinggi PN untuk diputuskan.

“Tidak ada sesiapa yang melengah-lengahkan perbincangan. Bagi saya secara peribadi lebih cepat perkara ini diselesaikan adalah lebih baik.

“Kita sebagai ahli biasa serahlah kepada kebijaksanaan pemimpin,” kata Marzuki lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share