
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 25 – Belia Melayu di dalam negara berpandangan politik dan demokrasi Malaysia sekadar permainan kuasa elit politik dan jauh daripada realiti sebenar kehidupan rakyat.
Kajian Iman Research bertajuk: “Orang Kita: Politik Pengiktirafan dan Kekecewaan” mendedahkan kelompok belia Melayu merasakan kerajaan dan pembangkang hanya melihat perebutan kuasa, percaturan langkah politik, dan kerjasama yang mengorbankan prinsip.
Malah, kedua-duanya juga didakwa gagal mengutamakan rakyat, lapor Malaysiakini.
Responden kajian turut menyatakan tidak lagi berminat dengan politik atas dua sebab utama iaitu persengketaan berterusan di kalangan kelas politik, terutamanya antara pihak kerajaan dan pembangkang.
Kajian itu juga menunjukkan belia Melayu percaya pembangkang dilihat kurang serius melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan sebaliknya kelihatan taksub untuk merampas kuasa.
“Kurangnya perbincangan serius mengenai tadbir urus dan dasar oleh pihak pembangkang melainkan fokusnya untuk menggulingkan kerajaan.
“Sebaliknya, kerajaan sibuk mempertahankan diri menentang pembangkang dan bukannya mentadbir,” kata kajian.
Situasi pergeseran politik yang berterusan ini dianggap sebagai ‘ketidakstabilan politik’, yang mereka percaya boleh menjejaskan kestabilan ekonomi kerana pelabur atau perniagaan tidak dapat beroperasi dengan efektif dalam persekitaran yang tidak stabil, kata laporan Iman Research tersebut.
Malah, mereka juga percaya kerajaan telah mungkir janji-janji mereka.
“Ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, gabungan itu telah menjanjikan reformasi institusi dan penambahbaikan ekonomi yang menyeluruh sekiranya mereka mendapat mandat.
“Ramai responden meluahkan rasa kecewa kerana kerajaan memungkiri janji mengenai reformasi itu, memetik bagaimana kes Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada dilepaskan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuahnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Walaupun kerajaan sekarang adalah ‘kerajaan perpaduan’, responden menumpukan perhatian kepada kenyataan-kenyataan dari gabungan PH sebelum ini tentang reformasi.
“Mereka membandingkannya dengan situasi di mana PH telah membuat konsesi politik dengan rakan Barisan Nasional mereka,” katanya.
Kajian tersebut melibatkan belia Melayu berumur 18 hingga 35 tahun di seluruh Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan ‘Kubu Melayu’.
Kajian dijalankan melalui temu bual mendalam dengan 105 responden dari pelbagai latar belakang.
Antara isu lain disentuh responden adalah polarisasi kaum, kegagalan sistem pendidikan, peranan media sosial dan celik politik.
Mereka turut membangkitkan isu kurangnya perwakilan belia dalam politik, dan ketidaksamarataan pembangunan wilayah. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.