
KUALA LUMPUR, 14 OGOS 25 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menyuarakan kebimbangannya berkenaan cadangan pindaan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana dikhuatiri mengubah demografi penduduk.
Jelasnya, akta itu juga dikhuatiri menyebabkan ramai rakyat Malaysia di bandar berpindah ke luar bandar.
“Saya bimbang akta ini akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang kini menetap di dalam bandar terpaksa pindah ke luar bandar.
“Situasi ‘urban displacement’ ini akan memberi kesan ketara kepada demografi sesebuah kawasan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berpandangan akta itu perlu menyatakan dengan jelas jika ada kelompok yang tidak bersetuju, mereka akan mendapat pampasan yang sama dengan semua lain yang terbabit dan mereka tidak dihukum dengan amaun pampasan berbeza semata-mata kerana mereka tidak bersetuju melepaskan harta milik mereka.
“Isu paling besar ialah ‘ambang persetujuan’ yang membolehkan Akta URA ini dipaksa ke atas kelompok yang tidak bersetuju.
“Kerajaan juga mesti jelaskan apa bantuan yang dijamin oleh kerajaan kepada kumpulan yang tidak bersetuju disebabkan mereka tidak mampu berpindah ke premis baru walaupun selepas mendapat pampasan.
“Pada masa yang sama, apa justifikasi angka 30 tahun sebagai pembeza ambang persetujuan? Takkanlah bangunan di Malaysia hanya selamat untuk 30 tahun sahaja?.
“Kerajaan mesti jelaskan apa justifikasi angka-angka ini.” Tegasnya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar pada sesi Parlimen Julai ini, namun media melaporkan cadangan tersebut ditangguhkan ketika ini.
Berdasarkan rekod sehingga kini, cadangan pembentangan URA menerima tentangan hebat daripada pembangkang, terutamanya pemimpin Perikatan Nasional yang mendakwa undang-undang ini akan menafikan hak golongan minoriti.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda), menyifatkan rang undang-undang ini sebagai “akta merampas rumah” dan memberi amaran bahawa ia mungkin menguntungkan pemaju dengan mengorbankan golongan berpendapatan rendah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.