
KUALA LUMPUR, 5 DIS 25 — Krisis kepimpinan dalam Bersatu terus memuncak apabila Setiausaha Bersatu Sabah membuat pendedahan mengejutkan mengenai arahan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jentera Pemuda mencetak sendiri bendera parti, menjadi titik kemarahan terbesar ketua-ketua bahagian Sabah.
Memetik laporan FMT, Yunus Nurdin mendedahkan bahawa dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri, presiden parti itu meminta Pemuda setiap bahagian menyediakan bendera masing-masing untuk PRN Sabah, satu arahan yang dianggap “menghina kemampuan parti” dan bukti kecuaian pengurusan di peringkat tertinggi.
“Ini bukan parti kecil. Tapi kami diminta cetak bendera sendiri. Tak logik sebuah parti nasional bertarung pilihan raya tanpa logistik asas,” tegas Yunus, yang menyifatkan arahan itu sebagai punca kemarahan sebenar akar umbi sehingga mereka mendesak perubahan kepimpinan.
Tambahnya, kelemahan Muhyiddin lebih terserlah apabila Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, terpaksa menggunakan dana peribadi untuk membantu calon parti sepanjang kempen, tindakan yang membayangkan ketidakcukupan dana disebabkan kegagalan pengurusan di pusat.
“Kami turun berkempen dalam keadaan parti tak sediakan apa-apa. Sudahlah logistik tak ada, dana pun tak disalurkan,” katanya.
Mengulas dakwaan lapan ketua bahagian dipaksa menandatangani SD mendesak Muhyiddin berundur, Yunus menafikan wujudnya sebarang paksaan atau dokumen yang ditandatangani sebelum sidang media tempoh hari.
“Itu semua fitnah. Tak ada SD, tak ada tandatangan, tak ada paksaan. Kita hanya bermesyuarat dan terus buat sidang media,” jelas beliau.
Dengan siri pendedahan yang memalukan ini, tekanan terhadap Muhyiddin untuk melepaskan jawatan presiden Bersatu dan pengerusi PN dijangka semakin kuat dari dalam parti sendiri.
PRN Sabah pada 29 November lalu menyaksikan Bersatu kalah di semua kerusi DUN yang ditandingi, manakala PN hanya meraih satu kerusi melalui calon PAS. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.