
KUALA LUMPUR, 10 NOV 25 — Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung pertuduhan salah guna kuasa dan menerima hasil aktiviti haram, bermula Mac 2026 hingga Ogos 2026.
Hakim Noor Ruwena Nurdin memutuskan perbicaraan akan berlangsung selama 29 hari, selepas persetujuan dicapai antara Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela Chetan Jethwani. Tarikh utama termasuk Mac, April, Mei, Julai dan Ogos, manakala 27 November ditetapkan untuk pengurusan kes dan 18 November untuk permohonan pelepasan pasport sementara.
Muhyiddin, 78, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa, termasuk didakwa meminta rasuah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.
Beliau juga menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dana RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dikatakan dimasukkan ke akaun partinya, antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Menurut pendakwaan, kira-kira 30 saksi akan dipanggil memberi keterangan. Muhyiddin tidak hadir pada prosiding hari ini dengan kebenaran mahkamah. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.