
KUALA LUMPUR, 25 NOV 25 – Presiden Parti PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali, hari ini menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan perlu segera menjelaskan kedudukan bayaran royalti petroleum kepada Terengganu, yang menurutnya masih tertangguh dan tidak selaras dengan perjanjian sah antara kerajaan negeri dan Petronas di bawah PDA 1974.
Dalam kenyataan medianya, Ibrahim menekankan bahawa isu royalti bukan tuntutan politik, tetapi hak yang termaktub secara undang-undang bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Terengganu.
Beliau menegur layanan berbeza terhadap negeri-negeri pengeluar petroleum lain, antaranya Sarawak dan Johor, yang menerima pembayaran dan perhatian lebih segera, manakala Terengganu didakwa terabai.
“Jika hak negeri ditentukan berdasarkan pulangan politik, itu bukan tadbir urus yang adil,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat Terengganu tidak meminta ihsan atau derma, tetapi menuntut hak mereka yang telah dipersetujui secara rasmi. Menurutnya, kelalaian pembayaran royalti bukan sahaja menjejaskan pembangunan negeri, tetapi juga maruah rakyat Pantai Timur.
PUTRA menegaskan sokongan penuh kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar, dalam memastikan hak negeri ditegakkan.
Ibrahim menyeru kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran dan memastikan ketelusan dalam pengurusan royalti, bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan dan tadbir urus yang baik.
“Royalti petroleum Terengganu adalah hak rakyat. Ia bukan ihsan kerajaan pusat dan tidak boleh diperlakukan mengikut suka atau selera politik. Kerajaan perlu tunaikan amanah ini segera,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.