Oleh : Azman Bijan

Rafizi ialah Timbalan Presiden PKR yang memenangi jawatan itu pada 2022 selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Beliau dikenali sebagai seorang yang berideologi reformis, berfokus kepada strategi jangka panjang dan keutuhan prinsip. Namun, selepas dua tahun, kelihatan tekanan dalaman ke atas beliau meningkat.
Sebahagian pemimpin lama parti melihat Rafizi sebagai “game changer” yang menggugat struktur tradisional kuasa PKR, khususnya yang berkait dengan kumpulan pro-Anwar yang lebih cenderung kepada kompromi kuasa dan kelangsungan dalam kerajaan perpaduan.
“Rafizi ini bawa pendekatan terlalu teknokrat, kurang semangat kepartian…” – menurut satu sumber dalaman.
Rafizi lebih menumpukan kepada kerja dasar dan strategi polisi berbanding politik popular gaya Anwar. Ini tidak menguatkan jaringan sokongan cabang berbanding pesaingnya yang lebih giat berkempen secara fizikal dan sosial.
Selain daripada itu, Rafizi dilihat lebih bekerja secara solo, bukan berpasukan atau kepartian. Malah sikap ini sangat tidak digemari oleh rakan parti iaitu DAP.
Rata-rata pemimpin DAP tidak mengharap Rafizi menang, kerana jika menang, beliaulah yang akan mengganti Presiden PKR tidak lama lagi, ini akan mendatangkan masalah kepada DAP kerana Rafizi tidak boleh “digigit” seperti Anwar atau Nurul Izzah.
Beberapa pemimpin muda yang lebih setia kepada Presiden parti dan lebih oportunis dari segi politik mula mengambil ruang untuk menyanggah Rafizi secara halus, mempersoalkan komitmen dan keberkesanannya dalam menjana sokongan Melayu luar bandar.
Rafizi bukan sahaja bijak strategi, malah beliau masih mempunyai sokongan senyap dan kepercayaan daripada golongan profesional dan anak muda, menjadikan beliau sebagai ancaman jangka panjang kepada mana-mana tokoh yang bercita-cita lebih tinggi dalam PKR dan kerajaan.
Jika pemilihan ini tidak diurus secara dalaman, PKR berisiko terbelah kepada dua watak dominan. Jika Rafizi disisihkan, gelombang keluar reformis seperti era Azmin boleh berulang, walaupun bentuknya berbeza.
Namun, Rafizi pasti menghadapi laluan yang sukar kali ini, kerana dia bukan sahaja menentang Nurul Izzah secara individu, tetapi dia dilihat menentang seluruh pemimpin parti PKR yang rata-ratanya menyokong Nurul Izzah sebagai legasi Anwar Ibrahim.
Rafizi akan dijadikan kambing hitam atas kegagalan Anwar melaksanakan reformasi, beliau mungkin akan menurut jejak langkah Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang teknokrat dan ahli kewangan di segani tetapi akhirnya diterajang keluar kerana dianggap bukan ‘Wala’ kepada Anwar.
Azman Bijan Adalah Penyokong PH Yang Kecewa Pada Kerajaan Perpaduan