
RMK13 sepatutnya menjadi pelan pembangunan jangka sederhana yang bersifat teknokratik dan realistik. Namun, dokumen ini lebih menyerupai manifesto politik kerajaan Madani; penuh janji besar, tetapi kosong dari aspek pelan pelaksanaan yang terperinci dan jelas.
Umum boleh berpendapat bahawa RMK13 hanya menjadi ‘checklist’ untuk PRU akan datang, bukan pelan pemulihan ekonomi yang berpijak di bumi yang nyata.
Menerusi RMK13, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif, namun gagal menetapkan hierarki keutamaan.
Dalam RMK13 ini, kita lihat semua sektor mahu diberi perhatian serentak iaitu infrastruktur, pendidikan, teknologi hijau, pertanian, perumahan – tanpa penjelasan yang mana didahulukan dan bagaimana keberkesanannya dapat diukur.
Kelompongan ini, secara tidak langsung menunjukkan kegagalan membuat ‘trade-off’ dan risiko pembaziran peruntukan akan berlaku.
Walaupun kerajaan bercakap tentang pertumbuhan inklusif, RMK13 jelas bergantung kepada pinjaman, yang mana peningkatan hutang kerajaan dalam projek-projek yang memerlukan pinjaman luar.
Ini pastinya akan membuka ruang kepada isu keberhutangan negara yang sudah pun mencecah paras membimbangkan berdasarkan nisbah KDNK Negara ketika ini.
Persoalannya mudah, bagaimana kerajaan mahu membayar semula hutang-hutang tersebut, sedangkan hasil negara masih bergantung kepada sumber sempit seperti cukai petroleum?
RMK13 banyak menyebut teknologi hijau, transformasi digital, dan sektor berimpak tinggi, tetapi pada masa yang sama, ia memberi ruang yang sangat terhad kepada pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Dari premis ini, kita lihat dasar fiskal dan insentif tidak disasarkan dengan lebih tepat untuk membantu rakyat marhaen yang menjadi tonggak aktiviti ekonomi,sebaliknya – hanya untuk syarikat besar atau pelabur asing.
Sebahagian besar sasaran RMK13 tidak disertakan dengan indikator prestasi yang jelas. Tiada pelan untuk melaporkan kemajuan secara berkala yang boleh diakses rakyat. Ini membuka ruang untuk kegagalan projek tanpa sebarang akauntabiliti.
Satu perkara yang perlu disebut adalah tentang pengagihan projek mega dan pembangunan masih memihak kepada negeri-negeri tertentu, terutama yang menjadi kubu kuat kerajaan.
Negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah sering diletakkan di hujung senarai keutamaan sedangkan projek mega ECRL yang sedang berjalan ini adalah bertujuan untuk memberi pertumbuhan ekonomi di wilayah pantai timur negara.
RMK13 seakan suatu bukti diskriminasi pembangunan dan kegagalan kerajaan Madani membina konsensus nasional.
Penghujung dari perbahasan ini, aka menunjukkan bahawa RMK13 adalah manifesto politik yang hanya bertopengkan pelan pembangunan negara. Ia bukan untuk rakyat, tetapi untuk mengukuhkan pengaruh Anwar.
Za’aba Ibrahim – pengkritik politik bebas
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my