Samsuri Tuntut Bayar Hasil Petroleum Terengganu Dua Kali Setahun

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 25 – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Samsuri Mokhtar menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayar kerajaan negeri Terengganu hasil petroleum sebanyak dua kali setahun.

Kerajaan juga katanya perlu membayar jumlah anggaran sebenar dan membatalkan kesemua kawalan tidak perlu yang dikenakan pada ketika ini.

“Saya memohon Tambun dan kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan, dan memperjelaskan tuntutan-tuntutan berikut, membayar kepada kerajaan negeri, hasil daripada petroleum seperti sebelum Tambun menjadi perdana menteri, iaitu sebanyak dua kali setahun, dan sejumlah seperti yang dianggarkan,” katanya, merujuk kerusi Parlimen diwakili Anwar.

Dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, kerajaan turut disaran menambah jumlah peruntukan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Terengganu, bagi menyelenggara dan menaik taraf kawasan perindustrian.

“Ini sekali gus menggalakkan pelaburan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi.

“Meningkatkan nilai bantuan fiskal dan bukan fiskal, bagi menjamin ketersediaan (readiness) perkhidmatan, dan produk pelancongan di Terengganu, dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membantu MOTAC mencapai sasarannya,” kata Samsuri.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menaik taraf dan menyelenggara institut latihan yang beroperasi di Terengganu, bagi mengarus perdanakan program TVET, sekali gus menyokong keperluan bakat oleh industri, dan merealisasikan visi Dasar TVET Negara 2030.

Samsuri berkata, kerajaan Persekutuan perlu menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share