
KUALA LUMPUR, 22 NOV 25 — Sekretariat Kesatuan Melayu (SKM) menggesa rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara untuk membuat laporan polis secara serentak berhubung perjanjian perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat yang dikenali sebagai ART 2025, yang didakwa berat sebelah dan berisiko menjejaskan kedaulatan negara.
Dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada semua NGO, SKM mendakwa ART 2025 memberikan kelebihan berlebihan kepada Amerika Syarikat, serta memeterai komitmen yang “tidak pernah dilakukan negara lain” dalam perjanjian seumpamanya.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa beberapa pakar ekonomi dan perundangan, termasuk bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, telah menyuarakan kebimbangan terhadap kesan perjanjian terbabit.
SKM mendakwa keputusan kerajaan menandatangani ART 2025 tanpa penelitian mendalam boleh membawa implikasi terhadap kuasa kerajaan Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu, selain menjejaskan kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Kenyataan tersebut juga memberi peringatan bahawa negara hanya mempunyai tempoh “sekitar 30 hari” sebelum perjanjian berkuat kuasa sepenuhnya pada 25 Disember 2025, selepas itu ia akan menjadi instrumen undang-undang yang wajib dipatuhi.
Sehubungan itu, SKM mengesyorkan dua tindakan utama iaitu laporan polis secara serentak di seluruh negara pada Jumaat, 28 November 2025, jam 10.30 pagi, bagi membantah tindakan kerajaan menandatangani perjanjian tersebut dan penyerahan memorandum kepada Istana Negara serta Istana Negeri masing-masing pada jam 2.30 petang pada hari yang sama, selepas solat Jumaat.
SKM menyifatkan tindakan terkoordinasi ini sebagai langkah mendesak untuk “melindungi kepentingan negara dan maruah institusi negara”. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.