
KUALA LUMPUR | 3 Feb 26 — Gesaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin, supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden parti bukan suara terpencil, sebaliknya mencerminkan sentimen sebenar yang dikongsi secara senyap oleh majoriti kepimpinan tertinggi Bersatu, kata Profesor Kehormat Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Menurut beliau, keberanian Yunus bersuara secara terbuka adalah petunjuk jelas bahawa krisis kepimpinan Bersatu kini sudah melepasi tahap bisik-bisik dalaman, malah telah disedari dan diterima hakikatnya oleh orang dalam parti sendiri.
“Yunus Nurdin mengatakan perkara sebenar yang ramai lagi dalam MPT sebenarnya berpandangan sama, cuma mereka lebih berhati-hati untuk bersuara,” katanya ketika mengulas perkembangan terkini dalam Bersatu.
Prof Ahmad Fauzi menjelaskan, kepimpinan Muhyiddin kini semakin dipersoalkan bukan kerana tekanan luar, tetapi akibat tindakan unilateral yang gagal menghormati prinsip syura dan keputusan kolektif dalam hal-hal kepimpinan utama parti.
Katanya, pola keputusan sepihak ini telah mewujudkan keresahan mendalam dalam kalangan MPT, sekali gus menghakis keyakinan terhadap hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Krisis Bersatu ini bukan lagi sekadar persepsi pihak luar atau naratif musuh politik. Ia adalah realiti dalaman yang sedang merebak dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti,” tegas beliau.
Tambahnya, suasana takut untuk bersuara dalam kalangan ahli MPT juga dipengaruhi oleh tindakan disiplin sebelum ini ke atas beberapa pemimpin Bersatu, menyebabkan hanya segelintir yang berani tampil secara terbuka walaupun pandangan tersebut dikongsi ramai.
Dalam konteks itu, Prof Ahmad Fauzi berpandangan kepimpinan Muhyiddin kini berada di fasa penghujung, dengan isyarat jelas bahawa keperluan perubahan sudah diakui oleh barisan kepimpinan dalaman sendiri.
Beliau menegaskan, langkah paling strategik ketika ini ialah Muhyiddin berundur secara terhormat, ketika Bersatu masih mempunyai ruang untuk menyusun semula gerak kerja dan kepimpinan bagi menghadapi PRU16 tahun depan.
“Berundur sekarang memberi peluang kepada parti untuk bangkit semula, pada saat jasa Muhyiddin sebagai ketua parti dan mantan Perdana Menteri masih dihargai,” katanya.
Terdahulu, beberapa orang Ahli MPT secara terbuka mempersoalkan kewibawaan Muhyiddin dan menggesa beliau meletakkan jawatan, ekoran kelemahannya dalam mengurus krisis demi krisis. @politiko.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.