Subsidi Bersasar RON95: Niat Baik, Tapi Mekanisme Lemah

Langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi petrol RON95 mulai pertengahan tahun ini dilihat sebagai usaha serius menangani ketirisan fiskal dan memastikan keadilan pengagihan bantuan.

Walaupun matlamatnya murni, mekanisme pelaksanaan yang dirangka menimbulkan pelbagai persoalan dari segi kecekapan teknikal pelaksanaanya, hinggalah kepada kebolehpercayaan kepada data.

Hingga kini, belum ada mekanisme yang jelas bagaimana pelaksanaan teknikal akan dibuat, namun sepintas lalu, kita melihat kerajaan meletakkan harapan penuh kepada Pangkalan Data Utama (PADU) untuk mengenal pasti penerima subsidi.

Walaupun PADU diwujudkan untuk menyatukan data individu dan isi rumah bagi tujuan dasar sosial, namun pada realitinya, sistem ini masih dalam fasa pematangan, belum benar-benar teruji dilapangan praktikal. Ini boleh menimbulkan pelbagai risiko kesilapan teknikal.

Berdasarkan laporan terkini, lebih 10 juta rakyat belum mengemas kini maklumat mereka secara lengkap. Ini bukan jumlah yang kecil.

Ini bermakna keputusan siapa layak atau tidak layak menerima subsidi berisiko tinggi untuk menjadi tidak tepat. Sekiranya penilaian berdasarkan data tidak lengkap, golongan rentan boleh tercicir — sedangkan subsidi itu diwujudkan untuk membantu mereka.

Kerajaan juga dikatakan bercadang menggunakan MyKad atau sistem digital di stesen minyak untuk mengesahkan kelayakan subsidi. Namun cadangan ini menimbulkan beberapa isu teknikal dan logistik kerana tidak semua stesen minyak dilengkapi sistem pengecaman subsidi secara waktu nyata (real time).

Selain daripada itu, terdapat kemungkinan berlaku gangguan sistem atau kelewatan pengesahan (server down – down time). Isu seperti ni akan menyebabkan sistem di stesen minyak akan terganggu. Jika kerap berlaku, maka masalah lain akan timbul

Ini tidak termasuk faktor gangguan apabila golongan warga emas, pedalaman, atau mereka tanpa akses teknologi untuk menggunakan sistem di stesen minyak.

Selain daripada itu, perdebatan mengenai siapa dia golongan T15 sebagai kumpulan yang tidak layak menerima subsidi juga masih menjadi persoalan.

Tanpa takrifan jelas mengenai paras pendapatan dan beban sara hidup kawasan, sistem ini berisiko mengklasifikasikan kumpulan atau individu yang salah. Jika ini berlaku, ia adalah ketirisan yang mana ia bertentangan sama sekali dengan matlamat pelaksanaan subsidi bersasar itu sendiri.

Seorang peniaga kecil di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM6,000 mungkin dilabel T15, tetapi hakikatnya dia menanggung sewa tinggi, kos pendidikan anak, dan bayaran perubatan swasta.

Sedangkan pendapatan sama di kawasan luar bandar memberi tahap kehidupan jauh lebih selesa. Jika isu ini tidak diselesaikan lebih awal, pasti akan mengundang ketidakpuasan hati rakyat.

Dengan kos petrol meningkat bagi sebahagian pengguna, kos logistik dan pengangkutan dijangka meningkat, ini secara tidak langusng akan melonjakkan harga barangan keperluan.

Walaupun kerajaan menyatakan hanya golongan T15 akan terkesan, realitinya peningkatan kos akan dipindahkan kepada pengguna melalui harga pasaran.

Maka, B40 dan M40 tetap akan merasa beban tidak langsung ini, sama ada mereka layak mendapat subsidi atau tidak.

Pengumuman demi pengumuman dibuat, namun maklumat tentang mekanisme sebenar pelaksanaan subsidi bersasar masih kabur. Siapa yang layak? Bagaimana rayuan dibuat? Apa yang berlaku jika sistem PADU tidak dikemas kini? Ketidakjelasan ini boleh mencetuskan kekeliruan, kemarahan rakyat, dan menghakis keyakinan terhadap keikhlasan dasar ini.

Sejarah pelaksanaan dasar bantuan bersasar seperti BR1M dan e-Kasih membuktikan bahawa ketirisan berlaku apabila penilaian bergantung sepenuhnya kepada data yang tidak lengkap atau ketinggalan zaman.

Jika kerajaan benar-benar mahu melaksanakan subsidi bersasar RON95 secara adil, sistem PADU perlu diperkuat terlebih dahulu, dan ini pastinya akan mengambil masa.

Tanpa semua ini, subsidi bersasar akan menjadi satu lagi dasar “nawaitu baik, tetapi pelaksanaan pincang” — dan akhirnya, rakyat marhaen tetap menjadi mangsa.

Zulkifli Arif – Pembaca politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share