
KUALA LUMPUR | 27 Jan 26 — Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) tidak menetapkan bahawa jawatan Pengerusi gabungan itu mesti disandang oleh Presiden parti-parti anggotanya, kata Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau menjelaskan bahawa peruntukan Perlembagaan PN membezakan dengan jelas antara keanggotaan Majlis Presiden dan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional, di mana Majlis Presiden secara khusus diwajibkan dianggotai oleh semua Presiden parti anggota, namun syarat yang sama tidak terpakai kepada jawatan Pengerusi.
“Majlis Presiden hendaklah dianggotai oleh Presiden parti-parti anggota. Itu jelas dalam Perlembagaan. Tetapi bagi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional, tiada satu pun peruntukan yang menyatakan bahawa ia mesti dipilih daripada kalangan Presiden parti,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.
Menurut Takiyuddin, Pengerusi Perikatan Nasional adalah Pengerusi Majlis Tertinggi dan hendaklah dipilih oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi serta memegang jawatan tersebut selagi dikehendaki oleh majlis berkenaan, tanpa sebarang syarat tambahan berkaitan jawatan dalam parti komponen.
Beliau menegaskan, dari sudut penggubalan undang-undang, sekiranya Perlembagaan bermaksud mengehadkan jawatan Pengerusi kepada Presiden parti anggota, perkara itu pasti dinyatakan secara jelas sebagaimana peruntukan keanggotaan Majlis Presiden, namun peruntukan sedemikian tidak wujud.
“Dari segi drafting undang-undang, kalau itu maksudnya, maksudnya untuk pengurusi PN ini mesti presiden, dia mesti ken letak (dalam perlembagaan). Ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, PAS berpandangan bahawa sekiranya parti-parti anggota bersetuju PAS menjadi parti yang mengetuai Perikatan Nasional, maka mana-mana individu yang dicalonkan oleh PAS dan dipersetujui Majlis Tertinggi adalah layak untuk dipilih sebagai Pengerusi, dan tidak semestinya Presiden PAS.
“So, whoever nominated or proposed by PAS to be elected as chairman of Perikatan Nasional, he is qualified. Not necessarily president of PAS and based on the provision in the constitution. Katanya.
Takiyuddin turut merujuk amalan sebelum ini apabila Perikatan Nasional bersetuju melantik Bersatu sebagai parti yang mengetuai gabungan, dan calon Pengerusi yang dicalonkan oleh Bersatu diterima oleh parti-parti anggota, sambil menegaskan bahawa hakikat Pengerusi sebelum ini merupakan Presiden parti anggota tidak mewujudkan keperluan bahawa Pengerusi baharu juga mesti datang daripada kalangan Presiden parti.
Beliau menegaskan bahawa berdasarkan peruntukan Perlembagaan PN, jawatan Pengerusi adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi.
PN dijangka akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada khamis ini di Ibu Pejabat Parti Gerakan. Antara agenda utama ialah untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.