
KUALA LUMPUR, 30 Jun 25 – Khidmat Tun Tengku Maimun Tuan Mat disaran untuk disambung enam bulan lagi selepas mencapai umur persaraan 66 tahun, Rabu ini, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP itu berkata, perlanjutan perjawatan itu turut perlu diberikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bakal bersara apabila mencapai usia 66 tahun Khamis ini sementara Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dijadual bersara Ogos ini.
“Ini bukan melibatkan seorang hakim, malahan tiga orang termasuk dua yang menduduki hierarki teratas badan kehakiman (Tengku Maimun dan Abang Iskandar). Penting untuk kerajaan menjelaskan mengapa khidmat mereka tidak dilanjutkan, sekiranya keadaan itu berlaku” katanya, dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu akan meleraikan ketidaktentuan kedudukan ketiga-tiga hakim berkenaan dalam badan kehakiman, kata Ramkarpal.
Katanya, ketiga-tiga hakim tertinggi itu wajar diberi tempoh lanjutan perkhidmatan selama enam bulan lagi kerana mereka telah melaksanakan tugas dengan baik.
“Ketiga-tiga hakim tersebut telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dan telah memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan sumpah jawatan mereka dan oleh itu, sudah pasti ada merit untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka selama enam bulan lagi.
Tambahnya, adalah penting untuk membenarkan status quo badan kehakiman diteruskan bagi memastikan kelancaran peralihan kumpulan hakim yang akan mengambil alih kelak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.