
PARLIMEN | 23 Jan 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menegaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak membawa makna sebenar sekiranya kuasa kewangan negara terus dipegang oleh individu yang sama.
Berucap di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai idea yang baik secara prinsip, namun menekankan prasyarat penting: pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu diwujudkan terlebih dahulu agar reformasi benar-benar bermakna.
“Tiada guna tempuh masa dihadkan jika tidak diwujudkan halangan undang-undang bagi Perdana Menteri membolot jawatan Menteri Kewangan,” kata Wan Saiful.
Beliau mengingatkan Dewan bahawa cadangan pemisahan jawatan PM dan Menteri Kewangan pernah dikemukakan melalui Rang Undang-Undang persendirian pada 23 September 2015, namun ketika itu RUU tersebut ditolak. Kini, beliau mencabar rakan-rakan sejawatan, khususnya MP Pandan, Rafizi Ramli, untuk menghidupkan semula usul itu bagi dibahaskan dan diluluskan.
“Kalau YB Pandan sudi berkongsi draf persendirian yang dihasilkan pada 2015 dulu, saya sedia menjadi pengusul bersama,” tambahnya.
Ucapan Datuk Wan Saiful menegaskan bahawa tanpa pemisahan jawatan ini, had tempoh jawatan PM berpotensi menjadi reformasi kosong yang tidak membawa perubahan sebenar kepada struktur kuasa negara.
Dalam pengumuman khas tahun baru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Parlimen tahun ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.