
KUALA LUMPUR | 15 Jan 26 – Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberi satu reaksi tegas berhubung penangguhan prosiding terbaru yang dibuat oleh Lembaga Disiplin (LD) BERSATU, yang menurutnya menunjukkan kelemahan dalam sistem keadilan dalaman parti.
Menurut beliau, arahan penangguhan itu menimbulkan keraguan terhadap tahap kebebasan LD, sekaligus mengesahkan kebimbangan yang pernah disuarakan oleh beberapa bekas Ketua Bahagian sebelum ini.
“LD sepatutnya bertindak profesional dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Namun, arahan penangguhan ini jelas menunjukkan sebaliknya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau, sebelum dipecat merupakan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menjelaskan bahawa beliau dan rakan-rakan pernah bersangka baik terhadap anggota LD. Bagaimanapun, kini jelas bahawa lembaga tersebut gagal menegakkan keadilan, wujud konflik kepentingan, dan tiada perbicaraan yang adil.
Dalam kenyataannya, Saifuddin menekankan bahawa Lembaga Disiplin sepatutnya menjadi benteng keadilan dalam parti, tetapi situasi kini menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar bebas atau sekadar “ikut arahan”.
Terdahulu, Ahli Parlimen Gerik, YB Fathul Huzir Ayob mendakwa bhaawa penangguhan prosiding LD tersebut mencerminkan kegagalan ahli LD mematuhi keputusan MPT sebelum ini, termasuk cadangan untuk mencari jalan perdamaian serta penambahbaikan terhadap pengurusan Lembaga Disiplin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.