
KUALA LUMPUR, 22 Sep 25 – Britain, Australia dan Kanada hari ini mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menjadikan ia langkah bersejarah yang dijangka memberi tekanan besar kepada Amerika Syarikat dan sekutu Barat lain.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menegaskan keputusan itu bertujuan menghidupkan kembali harapan penyelesaian dua negara.
“Kami percaya hanya melalui pengiktirafan dan dialog politik, keamanan berkekalan dapat dicapai,” katanya.
Nada sama turut disuarakan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang menyatakan bahawa rakyat Palestin berhak menikmati kedaulatan dan masa depan yang bebas daripada konflik.
Pengumuman tiga negara G7 itu disambut baik Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang menyifatkannya sebagai “langkah penting” ke arah keamanan di Timur Tengah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengecam keras tindakan tersebut, mendakwa ia “tidak masuk akal” serta boleh mengancam keselamatan dan kewujudan Israel.
Sumber diplomatik memaklumkan Portugal dijangka turut mengumumkan pengiktirafan rasmi di New York, manakala Perancis serta beberapa negara Eropah lain dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah sama sempena Perhimpunan Agung PBB minggu ini.
Langkah terbaru ini sekali gus menampakkan jurang ketara antara Washington dengan sekutu rapatnya, memandangkan Amerika Syarikat masih menolak untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Konflik Gaza yang sudah berlarutan hampir dua tahun dilaporkan meragut lebih 65,000 nyawa – kebanyakannya orang awam – menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf PBB. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.