
KUALA LUMPUR, 2 Jun 25 – Langkah kerajaan menolak amalan budaya songsang LGBTQ+ bukan untuk menindas tetapi adalah demi melindungi struktur sosial masyarakat dan generasi muda, kata Naib Presiden Perkasa Prof. Madya Dr Amini Amir Abdullah.
Pengerusi biro hal ehwal agama Perkasa itu berkata, gaya hidup songsang yang bercanggah dengan norma agama dan budaya tempatan tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang “normal” dalam masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai Islam.
“Ini bukan soal kebencian, tetapi soal prinsip dan identiti negara. Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas dalam menolak amalan homoseksual dan perlakuan luar tabii,” katanya, dalam satu kenyataan.
Kanun Keseksaan Seksyen 377A dan 377B mengharamkan hubungan seksual sejenis manakala Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri menguatkuasakan larangan terhadap perbuatan lelaki berlagak seperti perempuan, atau sebaliknya.
“Dasar kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis atau pertukaran jantina secara sah.
“Langkah ini bukan untuk menindas, tetapi melindungi struktur sosial, institusi kekeluargaan dan akhlak generasi muda,” katanya.
Tegasnya, Islam menolak amalan songsang, namun tidak mengajar umatnya untuk membenci individu.
“Dakwah dan pemulihan harus terus diperkasa tetapi normalisasi tetap tidak boleh dikompromi.
“Pendekatan tegas tetapi berhikmah ini selaras dengan maqasid al-shariah melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya lagi.
Membuka ruang kepada ideologi LGBTQ+ katanya ibarat membuka pintu kepada keruntuhan institusi kekeluargaan, ketidakstabilan sosial dan pencemaran moral.
“Ia bukan sekadar isu peribadi, tetapi isu nasional,” tambahnya.
Justeru, pihaknya menyeru rakyat menyokong usaha Menteri Agama Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengolah dengan tegas usaha menormalisasikan gaya hidup songsang di Malaysia. @politiko.my