SST: Cukai Berlapis Buat Rakyat Tidak Mampu Nikmati Buah Import, Kata MCA

KUALA LUMPUR, 25 Jun 25 – Peluasan Cukai Jualan dan Chukai Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import bersifat berlapis, sekaligus dijangka memberikan kesan peningkatan harga untuk produk tersebut, dakwa MCA.

Menurut Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low keluhan itu diterima daripada pemborong dan peniaga yang bakal berhadapan beban cukai ke atas logistik, penyimpanan sejuk beku dan perkhidmatan penghantaran.

“Jika rakyat pun tak mampu makan buah, itu bukan kemajuan, itu kegagalan dasar. Sebiji buah mungkin kecil, tapi ia mencerminkan sama ada kerajaan benar-benar prihatin terhadap beban rakyat atau tidak.

“Ini semua dikenakan SST. Jika ini terjadi, harga akan meningkat, dan akhirnya akan memberi kesan kepada pembeli.

“Lebih membimbangkan, kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai ini turut dibimbangi akan mengakibatkan peningkatan kos operasi, terutamanya bagi fasiliti penyimpanan sejuk beku yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk menarik semula pelaksanaan SST terhadap buah-buahan import dan kos berkaitan seperti logistik dan penghantaran dan melaksanakan audit semula terhadap struktur SST yang mencetuskan kesan cukai berlapis.

“Gabungan semua faktor ini menyebabkan kos keseluruhan akan meningkat secara mendadak, yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna dalam bentuk harga buah yang lebih mahal,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA turut menyuarakan kebimbangan mengenai dasar kerajaan, yang menurutnya tidak konsisten sekaligus membebankan rakyat yang perlu menampung keperluan asas mereka tetapi pada masa sama memberi pelepasan cukai kepada barangan mewah.

“Apakah keutamaan sebenar kerajaan? Kenapa beban ditumpukan kepada keperluan asas rakyat, bukan kepada kemewahan?

“Tindakan kerajaan ini seperti jerutan perlahan ke atas rakyat, membebankan secara beransur-ansur, tetapi berterusan. Akibatnya, kuasa beli merosot, perbelanjaan isi rumah berkurang, dan ekonomi domestik menjadi semakin perlahan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share