Tun Mahathir Bukan Pemecah, Tapi Penyatu Politik Melayu – Shamsul Akmar

KUALA LUMPUR, 21 DIS 25 – Setiap kali berlaku perpecahan dalam landskap politik negara, khususnya melibatkan parti orang Melayu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering dijadikan rujukan sebagai tokoh yang berusaha menyatukan semula kekuatan politik, bukannya memecah-belahkan, kata Pengarang The Malaysian Reserve, Shamsul Akmar Musa Kamal.

Menurut beliau, contoh paling jelas ialah krisis pertembungan Team A dan Team B yang membawa kepada penubuhan Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun perpecahan itu bersifat sengit, usaha penyatuan berjaya direalisasikan apabila Tengku Razaleigh bertemu Dr Mahathir pada 1995 bagi menyatukan semula orang Melayu.

Hasil pertemuan itu menyaksikan Semangat 46 dibubarkan dan keseluruhan ahlinya menyertai Umno secara en bloc, sekali gus mengukuhkan semula kekuatan politik Melayu ketika itu.

Shamsul Akmar menegaskan, dari sudut logik politik, Dr Mahathir tidak perlu berbuat demikian kerana Umno ketika itu menguasai hampir keseluruhan kerusi Parlimen.

Beliau berkata, Semangat 46 pula hanya berpengaruh di Kelantan dan bergantung kepada PAS, namun Dr Mahathir memilih jalan penyatuan walaupun pihak tersebut pernah menentang dan tidak sehaluan dengannya sebelum itu.

“Ini membuktikan bahawa keutamaan beliau bukan kemenangan sempit, tetapi kestabilan dan penyatuan,” katanya.

Shamsul Akmar turut mengingatkan bahawa perpecahan bukan hanya berlaku dalam politik Melayu, malah turut melibatkan parti Cina dan India, namun perbezaannya ialah pendekatan pasca-perpecahan yang diambil oleh Dr Mahathir yang sentiasa menjurus kepada penyatuan semula.

Beliau berkata, perkara sama dapat dilihat selepas kekalahan Umno dalam pilihan raya umum apabila Dr Mahathir dikritik sekutu dalam Pakatan Harapan, termasuk DAP dan PKR, kerana menghadiri Kongres Maruah Melayu yang didakwa menjadi punca kepada peristiwa Langkah Sheraton.

Namun menurut Shamsul Akmar, kehadiran Tun Mahathir dalam kongres itu berpunca daripada kepercayaannya bahawa selepas Umno dijatuhkan akibat skandal seperti 1MDB, keutamaan seterusnya ialah mengukuhkan kembali kedudukan orang Melayu dalam struktur kuasa negara.

Katanya, bagi Dr Mahathir, kekuatan Melayu bukan soal perkauman sempit, tetapi soal ‘leverage’ dan kuasa tawar-menawar dalam kerajaan agar kepentingan orang Melayu dapat dipertahankan dengan lebih berkesan.

“Dr tidak pernah meraikan perpecahan. Perpecahan itu berlaku kerana ada pemimpin Melayu yang lupa diri, terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

“Kemungkaran seperti itu perlu dihentikan walaupun melalui strategi politik yang sukar,” katanya.

Shamsul Akmar menegaskan, jika kepimpinan sedemikian tidak dijatuhkan, orang Melayu mungkin kelihatan bersatu, tetapi berada di bawah pimpinan yang mungkar, justeru pembetulan melalui perubahan politik adalah satu keperluan demi masa depan negara. 

Tun ketika ini sedang berusaha menyatukan orang-orang Melayu, dibawah apa yang dinamakan sebagai Payung Besar Melayu, yang melangkaui semangat dan label kepartian. Namun demikian, usaha tersebut dilabel sebagai usaha terdesak Mahathir dengan bermain isu perkauman, yang mana musuh politiknya beranggapan, beliau menjadi pemecah belah orang Melayu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share