NGO Serah Memorandum, Desak RoS Semak Semula Perlembagaan DAP

KUALA LUMPUR, 14 NOV 25 – Gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi membantah kelulusan Perlembagaan baharu DAP yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, berkata semakan peguam mendapati beberapa terma dalam perlembagaan parti itu tidak selari dengan undang-undang negara.

“Kita mahu RoS meneliti semula kelulusan ini secara rasmi. Jika ada percanggahan, ia perlu diperbetulkan,” katanya di hadapan Ibu Pejabat RoS di Putrajaya.

Memorandum itu diserahkan Presiden Perkasa, Datuk Syed Hasan Syed Ali, kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan RoS, Nur Azrahani Azmi, dengan turut disaksikan Presiden Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan.

Syed Hasan mendakwa perlembagaan yang diluluskan itu “bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan” serta boleh menjejaskan kepentingan Melayu dan Islam.

“Kalau logo bunga raya pun tak boleh guna sebab lambang negara, takkan perkara bertentangan Perlembagaan boleh diluluskan?,” tegasnya.

Bibi Sunita yang membacakan memorandum bertajuk ‘Pelanggaran Perlembagaan oleh DAP terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966’ menegaskan RoS mempunyai tanggungjawab menolak mana-mana pertubuhan yang menyimpang daripada asas Perlembagaan.

Beliau menekankan empat tonggak utama negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Bumiputera, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan institusi Raja-raja Melayu.

Menurutnya, terdapat dasar dan gerakan tertentu dalam DAP yang didakwa bercanggah dengan asas tersebut selain perbezaan ketara antara versi Bahasa Inggeris dan terjemahan perlembagaan parti itu di laman sesawang mereka.

“Dalam laman web DAP ada empat versi. Terjemahannya pula tidak selari. Jika ini dibenarkan, ia menjadi duluan buruk kepada pertubuhan lain,” katanya.

NGO berkenaan menuntut RoS mengambil tindakan segera termasuk arahan pindaan atau pembatalan perlembagaan jika didapati bercanggah dengan undang-undang negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share