
KUALA LUMPUR, 9 Sep 25 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mendedahkan bahawa seorang pegawai Petronas menerima mesej ugutan melalui telefon bimbit yang mengancam untuk membakar kemudahan gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak.
Beliau berkata, mesej itu dipercayai dihantar daripada nombor telefon berdaftar di Indonesia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan sektor tenaga negara.
“Majlis Keselamatan Negara telah mengambil tindakan segera dengan memperketatkan kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG, khususnya di Sarawak dan Sabah, sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Petronas dalam kenyataan berasingan mengesahkan pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi berkuasa untuk menilai risiko keselamatan berkenaan. Syarikat minyak dan gas negara itu menegaskan, operasi serta bekalan LNG setakat ini tidak terjejas.
Kemudahan LNG di Bintulu merupakan antara kompleks pengeluaran terbesar dunia dengan kapasiti mencecah 29.3 juta tan metrik setahun, menjadikannya aset strategik utama kepada ekonomi negara.
Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesahkan terdapat ancaman keselamatan yang menyasarkan kemudahan gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak, sekali gus mendorong kerajaan memperketat kawalan di fasiliti berkenaan.
MKN dalam kenyataan memaklumkan langkah itu penting bagi memberi ruang kepada siasatan dan tindakan lanjut oleh agensi keselamatan. Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan spekulasi berhubung isu tersebut. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.