
KUALA LUMPUR, 8 Sep 25 – Sebanyak 120 daripada keseluruhan 146 bahagian Bersatu dari seluruh negara menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dari kerusi presiden, lapor Utusan Malaysia.
Akhbar itu melaporkan, kesemua 120 bahagian itu menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menggesa Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil alih kepimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi dilapor mengakui SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Laporan itu menyusul susulan ucapan dasar Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hujung minggu lalu mencetuskan kekecohan dalam kalangan perwakilan.
Dalam ucapannya, pengerusi Perikatan Nasional itu mendakwa wujud usaha mengumpul SD mendesaknya melepaskan jawatan.
Susulan daripada itu, laungan ‘Undur Tan Sri’ bergema dalam dewan perhimpunan daripada sebahagian perwakilan. Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun meneruskan ucapannya. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.