
KUALA LUMPUR | 14 Okt 26 – UMNO mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berlaku pilih kasih dalam keputusan pendakwaan melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata, perbezaan keputusan antara kes tidak semestinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.
Menurutnya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti individu yang terlibat.
“Keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukan tekanan atau kehendak politik,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Sri Azalina berkata, mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan munasabah, namun kritikan perlu disokong fakta serta asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata.
Dalam isu desakan supaya Perdana Menteri memastikan seseorang dituduh semula, beliau menegaskan bahawa kuasa pendakwaan tertakluk kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Tiada sesiapa yang harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu, termasuk pemimpin UMNO, berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik.
Mengulas keputusan melibatkan kes Yayasan Akalbudi, Sri Azalina berkata Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
Katanya, cabaran terhadap keputusan pendakwaan dalam kes berkenaan juga perlu mengambil kira proses kehakiman yang masih berjalan.
“Prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Sri Azalina menegaskan UMNO menghormati hak semua pihak menggunakan saluran undang-undang yang tersedia, namun proses mahkamah perlu diberi ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik.
Beliau berkata kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undang-undang bukan prinsip yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik.
“UMNO akan terus mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil, proses kehakiman mesti dihormati dan keputusan pendakwaan tidak seharusnya ditentukan oleh desakan politik terhadap mana-mana individu,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes dana Yayasan Akalbudi dipertimbangkan semula, susulan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan terhadap beliau. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.